Followers

rencana semasa

16 Sept. sepatutnya dihargai
Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my
SESETENGAH warga Malaysia mungkin tidak sedar bahawa hari ini adalah ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia ke-46. Hari ini juga ada yang langsung lupa tentang ulang tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-76.
Satu tarikh tetapi ada dua peristiwa penting berlaku pada hari ini - 16 September. Tanggal 16 September bagi masyarakat awam adalah seperti hari biasa. Sebab hari ini bukan cuti umum sebagaimana kita bercuti untuk menyambut Hari Kemerdekaan pada setiap 31 Ogos.
Jadi tidak hairanlah jika 16 September tidak membawa apa-apa makna bagi kebanyakan rakyat di Semenanjung Tanah Melayu. Mereka lebih mengingati 31 Ogos daripada 16 September. Tetapi tarikh ini memberi makna yang besar kepada kebanyakan rakyat di Sabah dan Sarawak.
Hari ini genap 46 tahun Sabah dan Sarawak merdeka melalui penubuhan Malaysia. Sejak 2008, tanggal 16 September setiap tahun akan diingati sebagai Hari Malaysia.
Dengan perisytiharan ini diharap mengubah sikap kurang sedar oleh sebilangan besar rakyat tentang tarikh pembentukan Malaysia. Ini terjadi kerana kita lebih mengingati tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 berbanding dengan tarikh kemerdekaan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura pada 16 September 1963. Tetapi Singapura keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.
Barangkali untuk rakyat mengingati tarikh ini maka wajar 16 September dijadikan hari cuti umum di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi mengenang hari penubuhan Malaysia.
Lebih-lebih lagi tiada program sambutan secara besar-besaran dianjurkan di seluruh negara pada tarikh tersebut sejak dahulu lagi. Oleh itu bukan pelik tarikh bersejarah ini berlalu tanpa timbul rasa perbezaan dengan hari-hari biasa. Oleh kerana tarikh 16 September jatuh dalam bulan Ramadan, umat Islam berpuasa maka tiada sambutan diadakan.
Jika tahun-tahun terdahulu, Hari Malaysia disambut - itu pun kerana meraikan majlis penutupan Bulan Kemerdekaan dan ia hanya diadakan di negeri yang menjadi tuan rumah sambutan itu sahaja. Liputan yang diberikan oleh pihak media juga kurang meluas.
Apakah benar sesetengah rakyat negara ini tidak menghargai tarikh bersejarah 16 September 1963? Jangan salahkan pandangan bahawa kita sendiri mendiskriminasi tarikh 16 September berbanding tarikh 31 Ogos, sedangkan kedua-dua tarikh itu sama penting dalam lipatan sejarah negara.
Atau rakyat Malaysia lebih mengingati 16 September sebagai tarikh cadangan penubuhan kerajaan baru seperti dicanangkan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tahun lalu.
Mujur tarikh itu tidak mencipta sejarah kerana ia hanya satu impian Anwar semata-mata. Sebab itu, kerajaan wajar mengangkat Hari Malaysia setaraf dengan tarikh 31 Ogos agar tarikh terbentuknya negara kita lebih dihayati, dikenang dan dihargai oleh seluruh rakyat.
Hubungan antara kaum yang dilihat agak longgar sejak dua tahun kebelakangan ini perlu dipulihkan.
Jika tarikh 16 September dijadikan cuti umum maka elok hari tersebut diadakan acara yang memupuk perpaduan kaum termasuk melibatkan kaum-kaum di Sabah dan Sarawak. Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi seluruh rakyat Malaysia.
Tarikh itu wajar dikenang sebagai detik bersejarah kepada Malaysia kerana ia merupakan hari lahirnya sebuah negara baru di rantau ini.
Pada 16 September 1963 , Tunku Abdul Rahman Putra mengisytiharkan penubuhan Persekutuan Malaysia bagi menggantikan Persekutuan Tanah Melayu.
Pembentukan Malaysia itu membolehkan Singapura, Sabah dan Sarawak memperoleh kemerdekaan daripada British melalui Malaysia.
Berdasarkan geopolitik Asia Tenggara pada tahun-tahun 1960-an, penyatuan itu lebih bertujuan untuk menjamin perpaduan, kemakmuran dan keselamatan bersama terutama daripada ancaman komunis.
Dalam proses pembentukannya, gagasan itu ditentang oleh Filipina dan Indonesia. Beberapa tahun lalu Manila mengisytihar tidak akan menuntut Sabah yang berada dalam Malaysia.
Tetapi berlainan dengan Indonesia, masih ada api dalam sekam yang masih berbara. Dalam kempen pembersihan rakyat Malaysia di Indonesia sejak tiga minggu lalu pemerhati politik Datuk Hashim Suboh berpandangan, rakyat kita perlu sentiasa kekal matang, cerdik, bijaksana dan rasional.
"Rakyat Indonesia khususnya politikus, karyawan media, pemimpin NGO dan mahasiswa sebenarnya baru mula bernafas dalam udara demokrasi.
"Mereka yang ghairah tentang hak, ketelusan dan keterbukaan ini akan lambat-laun menyedari bahawa di alam realitinya bangsa Indonesia tidak boleh dimajukan dengan sajian politik retorik semata-mata," jelas Hashim ketika dihubungi.
Dalam konteks hubungan Malaysia-Indonesia, kata beliau, adalah penting untuk kita tidak lagi bersentimental dengan mereka. Buang jauh-jauh hubungan secara abang-adik kerana kita dan mereka pasti mudah terguris dan tercalar oleh sesuatu perkara berbanding dengan pola hubungan bersama rakan-rakan yang berdiri sama tinggi.
Kini terbukti penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia adalah suatu keputusan yang tepat dan terbukti membawa rahmat besar kepada rakyat dan kedua-dua negeri.
Dengan bukti kemajuan dan nikmat pembangunan yang dikecapi hari ini, tidak ada pihak boleh menafikan kewajaran penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia.
Kestabilan politik, kemakmuran sosial dan kemajuan ekonomi yang dikecapi sejak merdeka menerusi Malaysia 46 tahun lalu, jelas berjaya mengubah landskap kedua-dua negeri di Pulau Borneo itu.
Menurut Hashim yang juga Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, kejayaan memajukan negara secara seimbang tanpa membiarkan mana-mana negeri atau daerah tertinggal, daif dan kelihatan seolah-olah terabai dan dipinggirkan mestilah dijadikan matlamat utama mana-mana kerajaan dan mereka yang diangkat menjadi pemimpin kerajaan.
Konsep federalisme perlu dihayati sepenuhnya biarpun kita bersaing habis-habisan di pentas politik. Sementara politik dan demokrasi perlu dimatang dan dimurnikan, Malaysia sesungguhnya kini memerlukan persekitaran politik yang lebih kondusif, cerdik, beradab dan saling menghormati di antara kerajaan-kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
"Bagi Sabah dan Sarawak mungkin telah tiba masanya parti-parti politik berasaskan negeri dinaikkan taraf atau diserapkan menjadi parti politik bertaraf nasional jika benar kita semua inginkan Malaysia yang satu dan holistik," kata Hashim.
Kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam petak atau kompartmen yang berasingan telah terhakis dengan cukup jelas sebaik-baik sahaja kita menghentikan penggunaan istilah Malaysia Barat untuk merujuk Semenanjung dan Malaysia Timur untuk Sabah dan Sarawak.
"Ia tambah dimantapkan lagi apabila Kerajaan Persekutuan membuat keputusan menyeragamkan waktu yang memberikan kesan psikologi yang cukup besar kepada seluruh rakyat tentang 'kesatuan' kita.
"Pada masa yang sama kelonggaran peraturan kemasukan rakyat dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak turut membantu melenyapkan perasaan 'keterasingan' yang amat tidak perlu itu.
"Supaya perasaan itu terus terhapus mungkin lebih wajar perkataan Semenanjung juga tidak perlu digunakan lagi selepas ini. Sebaliknya kita boleh terus merujuk identifikasi geografi kepada negeri atau bandar yang telah kita gunakan dengan selesa di luar perkataan Sabah dan Sarawak," jelas Hashim.
Malaysia-Indonesia mangsa adu domba luar?
Oleh RUHANIE AHMAD
PERSAHABATAN Malaysia-Indonesia mutakhir ini sering bergelora. Terbaru, akibat kemarahan sekumpulan rakyat Indonesia terhadap Malaysia atas isu yang disifatkan sebagai penciplakan unsur-unsur sosio-budaya satu nusantara.
Gelora hari ini diledakkan oleh aktor bukan negara - masyarakat sivil atau kumpulan minat - yang mendakwa prihatin terhadap eksklusiviti identiti dan warisan Indonesia.
Perkembangan ini menafikan hakikat Malaysia-Indonesia adalah saudara yang berkongsi sejarah sejak kegemilangan Melaka dan Majapahit.
Lantas apakah motif sebenar di sebalik fenomena mutakhir ini? Dan, adakah keterlaluan untuk mempercayai wujudnya kuasa luar yang mendalangi isu berkenaan?
Indonesia mempunyai jumlah umat Islam terbesar di dunia. Hakikat ini strategik dan signifikan kepada kuasa tertentu yang berniat untuk mengeksploitasinya.
Hakikat ini jadi lebih penting dan mencabar dalam konteks geopolitik serantau, terutamanya kepada kuasa asing yang mahu mengukuhkan hegemoninya di Asia Tenggara.
Jika kuasa tersebut agak 'segan' untuk mencipta gelora adu domba Malaysia-Indonesia secara sendirian, 'kaum kerabatnya' di Asia Tenggara atau Asia-Pasifik boleh membereskan agendanya itu.
Tindakan ini serupa dengan insiden peledakan bom di Indonesia mulai akhir tahun 2002. 'Tangan ghaib' yang melakukannya tetapi organisasi lokal yang dituduh sebagai dalang.
Namun propaganda ini akhirnya diterima sebagai kenyataan. Segala penipuan, pembohongan dan kepalsuan di sebaliknya telah diketepikan secara sistematik tanpa pernyataan terperinci.
Lantaran itu, gelora diplomasi Malaysia-Indonesia hari ini tidak boleh dipanjang-panjangkan tanpa menginsafi wujudnya agenda empayar agung oleh kuasa tertentu di Asia Tenggara.
Agenda ini dijelmakan dalam pelbagai rupa. Ia boleh diledakkan oleh aktor bukan negara menerusi isu yang disensasikan supaya Malaysia-Indonesia bertelagah dan bercakaran.
Ini kerana dalam percaturan kuasa global di Asia Tenggara mutakhir ini hanya Malaysia dan Indonesia yang masih berkecuali. Corak dan warna lain-lain negara sudah pun bertukar mengikut suasana.
Perkembangan seperti ini sukar untuk difahami oleh masyarakat jalanan. Lebih-lebih lagi jika emosi mengadu-dombakan Malaysia-Indonesia meledak atas tajaan kelompok luaran.
Namun banyak pihak insaf bahawa kebergantungan Malaysia-Indonesia sukar dimansuhkan. Faktor itu jugalah yang mengimbangi kegelojohan pihak yang mahu menguasai Asia Tenggara secara politik, tentera dan ekonomi.
Ini kerana Malaysia dan Indonesia adalah dua warga senusantara yang banyak persamaan dan kurang perbezaannya. Diaspora Indonesia wujud di Malaysia. Kebergantungan segolongan rakyat Indonesia kepada Malaysia juga adalah nyata.
Pertalian intelektual dan ilmuwan antara Malaysia-Indonesia juga intim. Ratusan pelajar Malaysia menimba ilmu di Indonesia dan sebaliknya. Interaksi cendekiawan Malaysia-Indonesia juga sentiasa berterusan.
Lantaran itu, tiada faedahnya kehadiran para pelajar dan warga Malaysia di Indonesia diancam atau digugat. Warga Malaysia semua peringkat juga tidak pernah terniat untuk menodai keakraban sesama saudara.
Persoalannya, jika masalah dua hala yang besar dan strategik boleh diselesaikan tanpa demonstrasi jalanan, apa manfaatnya masalah sosio-budaya yang disemarakkan oleh aktor bukan negara atas dukungan luaran dihela berjela-jela?
Gelora mutakhir ini perlu dimatikan. Ia tidak menguntungkan Indonesia atau Malaysia. Pihak yang mengaut laba, biarpun relatif, adalah kuasa yang berniat melaksanakan agenda adu domba.
Inilah hakikatnya percaturan kuasa aliran realis dalam dunia unipolar. Rakyat Malaysia-Indonesia dijadikan boneka adu-domba supaya kumpulan aktor bukan negaranya tidak memfokus kepada usaha menyelongkar apa jua agenda rahsia asing di Asia Tenggara.
Lantas menjadi tanggungjawab semua pihak di kedua-dua negara untuk mematikan apa jua tindakan bukan aktor negara yang kini menggelodakkan sentimen anti-Malaysia di Jakarta.
Perkara ini dituntut kerana antara Kuala Lumpur dan Jakarta wujud ikatan saudara yang boleh dijadikan kuasa penentu kepada kekuatan serantau di hari mendatang.
Inilah yang dicemburui dan mahu dimusnahkan oleh kuasa tertentu atau proksinya. Sikap cemburu dan aksi pemusnahan inilah yang dimunculkan menerusi apa yang sedang berlaku.
Segala-galanya akan berlarutan jika itu pilihannya. Kesemuanya juga bisa ditamatkan jika itulah cita-citanya. Musuh Malaysia-Indonesia bukan sejarah dan budayanya. Musuh kedua-dua negara adalah kerapuhan persaudaraannya akibat agenda adu domba luaran.
Malaysia dan Indonesia mempunyai sejarah persahabatan yang akrab dan panjang. Kedua-duanya juga mempunyai hari esok yang boleh membentengi Asia Tenggara dari bahaya terhadap Islam dan integritinya. Jangan izinkan sesiapa menodai dan memusnahkan hakikat ini. Berdamailah!
DATUK RUHANIE AHMAD ialah pelajar pasca siswazah dalam bidang strategi dan keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia
Perjanjian damai Israel-Palestin terburu-buru
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
AKHBAR harian utama Israel, Haaretz awal bulan ini mendakwa berjaya menghidu usaha menghidupkan semula perjanjian damai di Asia Barat yang ditaja oleh Amerika Syarikat (AS). Menurut akhbar itu, perjanjian damai itu berteraskan tiga kesepakatan utama.
Pertama, ia berlandaskan peta perdamaian (Road Map) 2003. Keduanya, tempoh rundingan yang ditetapkan ialah selama dua tahun iaitu bermula pada akhir September ini. Ketiga, AS sendiri akan menyertai dan memainkan peranan aktif dalam perjanjian damai itu bahkan akan duduk semeja dalam pasukan perunding Palestin dan Israel.
Lebih lanjut, Haaretz juga mendakwa kerajaan Israel merancang untuk mengadakan pertemuan penting antara ketiga-tiga pemimpin negara iaitu Presiden AS, Barack Obama; Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Pertemuan itu dijangka diadakan dalam sela masa ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung di New York pada 23 September ini. Dibuat secara terburu-buru, perjanjian damai itu tidak sukar untuk ditelah sebagai permainan Israel untuk memperlihatkan kepada dunia kedegilan Palestin yang menolak sebarang usaha perdamaian.
Israel sangat menyedari tanpa memasukkan persetujuan menghentikan perluasan pemukiman Yahudi terutamanya di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, mana-mana perjanjian damai yang cuba dihidupkan tidak mungkin akan berjaya.
Bagi Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, perjanjian damai ini adalah contoh terbaru Israel menggunakan pendekatan provokasi untuk tidak memenuhi tuntutan rakyat Palestin.
Israel mengugut Pihak Berkuasa Palestin (PNA) supaya membendung intifada, tetapi pada masa yang sama meneruskan agenda merampas tanah Arab, merobohkan rumahrumah mereka dan membangunkan penempatan Yahudi.
Apabila rakyat Palestin bertindak balas, PNA dituduh gagal menangani keganasan. Akhirnya, pelan damai itu menjadi satu lagi inisiatif yang tidak mungkin dapat dilaksanakan. Sesuatu yang menimbulkan tanda tanya ialah pendirian PNA/Fatah yang menerima rancangan pelan damai itu.
Bukan sahaja mustahil bagi PNA mempertahankan status quo, malah melalui pelan damai, PNA ditekan untuk menerima syarat-syarat bertulis serta tidak bertulis yang menggadai masa depan rakyat Palestin.
Pihak Israel mengugut PNA supaya menggugurkan tuntutan Resolusi 194 yang menjamin hak pelarian untuk pulang ke kampung halaman. Selain itu, PNA juga didesak mengiktiraf Israel sebagai 'negara Yahudi'.
Ini adalah agenda jangka panjang Zionis untuk menutup peluang pelarian Palestin pulang ke kampung asal mereka. Pengiktirafan ini juga akan memberi justifikasi kepada Israel untuk melaksanakan polisi berteraskan perkauman bagi memastikan Yahudi tetap dominan di Israel.
''Kesimpulannya, pelan damai yang dikemukakan oleh Israel hanya bertujuan menekan dan mengharamkan perjuangan rakyat Palestin dan hak mereka untuk mempertahankan diri daripada pencabulan hak asasi yang berterusan," ujar Hafidzi.
Usaha damai terkini yang sedang diusahakan oleh AS ini juga boleh dinilai berdasarkan kepada Pelan Damai 2003 yang terbukti gagal. Berdasarkan pelan damai itu, negara Palestin merdeka dalam konteks 'Two State Solution' atau Penyelesaian Dua Negara sepatutnya sudah tercapai pada tahun 2005.
Namun fasa I yang mana tempoh pelaksanaannya adalah sehingga Mei 2003 menemui kegagalan. PNA dinilai gagal untuk membendung Hamas dan semua gerakan pembebasan Palestin daripada meneruskan agenda penentangan mereka.
Kegagalan PNA/Fatah dijadikan sebagai alasan untuk Israel meneruskan agenda pendudukan dan pembinaan penempatan di wilayah yang diduduki khususnya Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat.
Bahkan semua perjanjian atau rundingan selepas Pelan Damai termasuklah terakhir pada 2007 iaitu Konferens Annapolis menyaksikan Israel terus bertindak menggagalkan usaha damai di Palestin.
Tanpa mempedulikan bantahan masyarakat antarabangsa bahkan 'teguran' Obama sendiri, Israel meneruskan projek pembinaan rumah dan apartmen di Tebing Barat dan kawasan penduduk Arab di Baitulmaqdis.
Antaranya projek pembinaan 455 buah unit penempatan baru di Tebing Barat serta 480 unit apartmen di sekitar Baitulmaqdis. Projek yang diluluskan oleh Netanyahu itu adalah sebahagian daripada lebih 2,500 buah rumah yang dalam pembinaan.
Hafidzi menambah, persoalan mengapa inisiatif perjanjian damai ini ingin dicapai sebelum Perhimpunan Agung PBB pada akhir September ini, bertujuan memulihkan imej Israel yang tercalar akibat tindakan biadab menyerang Gaza awal tahun ini.
Pandangan umum masyarakat antarabangsa tidak lagi memihak kepada Israel. Seruan untuk memulau barangan Israel dan memulau syarikat yang melabur di Israel juga mendapat momentum yang memberangsangkan di peringkat antarabangsa.
Israel mesti melakukan sesuatu untuk meyakinkan antarabangsa bahawa negara itu masih berminat untuk mencapai perdamaian dengan Palestin dan mempunyai komitmen untuk menjayakan penyelesaian dua negara.
''Israel mengharapkan inisiatif ini mendapat dokongan moral pada sidang PBB dan imejnya dapat dipulihkan. Walhal dunia kini menyedari komitmen Israel tidak lebih daripada retorik semata-mata," jelas beliau.
Untuk Asia Barat mencapai perdamaian yang tulen, Tel Aviv dan Washington tidak perlu berdolak-dalik. Apa yang perlu dilakukan ialah AS mendesak Israel supaya akur kepada Resolusi PBB khususnya 149 (1949), 242 (1967) dan 267 (1969) iaitu Hak Pelarian Palestin untuk pulang.
Israel juga mesti berundur ke Garis Hijau 1967 dan membatalkan pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka. Ini adalah ketetapan antarabangsa dan bukan tuntutan rakyat Palestin semata-mata.
Jelas Hafidzi, jika AS mempertingkatkan usaha menguatkuasakan resolusi tersebut ke atas Israel, maka jalan untuk mencipta perdamaian terbentang luas.
''Namun jika AS dan Israel tetap berdegil mencabar ketetapan PBB dan undang-undang antarabangsa maka usaha damai tetap akan menemui jalan buntu,'' ujar beliau.
ATM menggalas amanah rakyat
Oleh AMIR SARIFUDIN
amir.mansor@utusan.com.my
KEJAYAAN dan liku-liku yang dilalui oleh organisasi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi diperkatakan dan kali ini berkaitan dengan Hari Ulang Tahun ATM ke-76.
Bagi warga ATM dan bekas-bekas anggota tentera termasuk yang pernah berkhidmat semasa pentadbiran British, ia pasti mempunyai pelbagai pengertian berhubung ulang tahun tersebut. Banyak pengalaman yang ditempuhi warga tentera sebelum negara ini mencapai kemerdekaan hinggalah kini.
Bagaimanapun mungkin agak berbeza bagi kalangan orang awam yang tidak begitu menghayati ulang tahun itu kerana mereka berada di luar organisasi berkenaan. Apabila tiba tarikh 16 September, warga ATM adalah golongan paling berbangga kerana selama ini pun merekalah yang menjadi modal insan di belakang kestabilan dan keamanan negara.
Tanpa modal insan yang bersemangat waja, belum tentu organisasi besar seperti ATM dapat mengekalkan keselamatan dan kedaulatan negara hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. Sebagai pasukan beruniform sudah pasti rakyat melihat ATM sebagai sebuah organisasi yang mempunyai warga berkualiti, berdisiplin, berketerampilan, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.
Semua ciri-ciri ini akan memastikan kelangsungan dalam mempertahankan bumi Malaysia. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika diwawancara Utusan Malaysia berkata, beliau berpuas hati dengan tahap disiplin anggota-anggota tentera.
''Tahap disiplin mereka ini adalah tinggi iaitu lebih 90 peratus,'' katanya ringkas.
Apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid itu bukanlah retorik semata-mata kerana ukuran tahap disiplin itu berdasarkan penyelidikan oleh Bahagian Staf dan Perisikan Pertahanan (BSPP). Menurut Ahmad Zahid, tahap disiplin warga ATM itu amat menggembirakan kerana ia sukar diperolehi oleh kebanyakan negara sedang membangun.
Kesiapsiagaan anggota dan pegawai ATM itu sekali gus menunjukkan bahawa mereka boleh digerakkan dalam apa jua operasi sama ada di dalam mahupun luar negara.
Ini terbukti apabila anggota ATM diiktiraf pembabitan mereka dalam tugasan luar negara seperti di Lebanon dan sebagainya. Walaupun aset Malaysia agak kurang canggih semasa penugasan di luar negara, namun semangat ditunjukkan oleh pasukan tentera Malaysia amat tinggi dan sangat dihargai.
''Sekiranya dari semasa ke semasa ada permintaan untuk ATM menghantar pasukan menjadi tentera pengaman, kita akan hantar. Itu komitmen kita,'' katanya.
Walaupun berpuas hati dengan pretasi warga ATM bukan bermakna organisasi itu sudah boleh berpuas hati dan mendabik dada. Ini kerana masih terdapat ruang kosong yang perlu dipertingkatkan, kata Ahmad Zahid. Beliau bagaimanapun berpandangan kesiapsiagaan aset serta peralatan dalam ATM perlu dipertingkatkan lagi.
''Tahap kesiapsiagaan aset ATM pada masa ini dianggarkan kira-kira 80 peratus dan ia boleh dipertingkatkan lagi agar mencapai lebih 90 peratus,'' katanya.
Kombinasi kesiapsiagaan modal insan dan juga aset amat penting bagi sesebuah angkatan bersenjata untuk membolehkan ia bergerak menangani apa jua permasalahan serta mengekalkan kedaulatan negara. Jika satu daripada faktor itu tidak berada dalam keadaan siap siaga, kemungkinan besar pergerakan angkatan bersenjata akan cacat.
Selain memberi tumpuan kepada penyelenggaraan aset sebagai langkah meningkatkan tahap kesiapsiagaan peralatan, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan akan memastikan wujud perseimbangan pertambahan aset melibatkan tiga cabang ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),
Ini bakal memperlihatkan aset-aset baru bagi meningkatkan keupayaan ATM. Menurut Ahmad Zahid, walaupun bajet kementerian dijangka berkurangan 20 peratus pada tahun depan, namun pihaknya akan memastikan ia tidak menjejaskan pengoperasian ATM.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan secara terperinci yang dimaksudkan aset-aset baru tersebut. Pemilikan aset-aset sedia ada kata beliau, mampu untuk memantapkan operasi dalam memastikan keselamatan.
Antara langkah wajar dilakukan oleh kementerian itu yang mempunyai aset-aset besar ialah menggunakan aset sedia ada untuk mencipta dana bagi menampung pengoperasian ATM.
''Kem-kem lama akan dijadikan aset kepada kementerian pertahanan. Ia tidak akan dijual tetapi dijadikan aset dan juga boleh dijadikan bangunan pada masa hadapan.
''Nilai tanah juga boleh dijadikan aset yang berharga kepada kementerian,'' katanya.
Mengenai sambutan Hari ATM kali ini, ia akan memberi fokus kepada pendekatan keagamaan yang bertujuan mewujudkan perasaan kebanggaan dalam diri setiap anggota dan pegawai ATM. Sambutan kali ini bagi menyeimbangkan antara faktor duniawi dan ukhrawi.
''Ia juga merupakan komitmen spiritual untuk mewujudkan anggota dan pegawai tentera yang berjaya,'' jelasnya.
Menjawab pertanyaan, Ahmad Zahid berkata, cabaran keadaan keselamatan negara pada masa hadapan sangat dinamik dan tidak menentu. Justeru, ATM perlu dibangunkan dengan sistematik dan teratur agar mampu menghadapi segala macam kemungkinan.
Berikutan itu, ATM dilihat telah merangka satu rancangan pembangunan strategik jangka panjang iaitu Fourth Dimension Malaysia Armed Forces (4D MAF).
Ia melibatkan pelan pembangunan keupayaan ATM dengan mengambil kira wawasan, misi dan peranan yang perlu digalas oleh ATM.
''Kajian merumuskan struktur organisasi ATM perlu disusun semula mengikut keperluan konsep operasi ketika berlaku krisis dan mampu disesuaikan ketika aman.
''Lanjutan daripada itu, konsep penstrukturan digunakan dalam merangka pembangunan keupayaan ATM adalah lean dan mean tetapi lebih potent dari segi keupayaan combat keseluruhannya,'' kata beliau.
Di samping itu, pembabitan rakyat Malaysia menyertai kerjaya dalam ATM sebenarnya memberi banyak manfaat dan kemudahan untuk jaminan masa depan mereka.
Melalui falsafah pendidikan dalam ATM, banyak peluang pendidikan diwujudkan bermula tahun 1980 lagi dengan Skim Pengajian Tinggi di mana ATM menghantar anggota serta pegawainya mengikuti pengajian di dalam dan luar negara.
ATM juga membuka peluang kepada mana-mana anggota yang mahu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memperbaiki keputusan sedia ada.
''Sejak program pendidikan ini dilaksanakan, pencapaian warga ATM sangat memberangsangkan.
''Kira-kira 3,800 anggota dan pegawai tentera yang telah dan sedang mengikuti pengajian dari peringkat diploma hingga doktor falsafah.
''Ini tidak termasuk mereka yang melanjutkan pengajian di peringkat sijil dan diploma di bawah program khas perkhidmatan masing-masing,'' katanya.
Menurut Ahmad Zahid, mereka yang dihantar melanjutkan pengajian didapati mampu memberi komitmen tinggi baik dari segi keputusan peperiksaan, disiplin yang tinggi, malah peningkatan dalam prestasi kerja.
Kesinambungan daripada program sedia ada, ATM sedang merangka pelan dipanggil sebagai pensiswazahan pegawai di mana semua pegawai dalam ATM akan memperolehi sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda sebelum meninggalkan perkhidmatan.
''Untuk merealisasikan perkara ini, ATM merancang menambah lagi kursus-kursus yang relevan,'' katanya.
Mengakhiri wawancara, Ahmad Zahid mengingatkan rakyat negara ini bahawa sejarah telah membuktikan iaitu sumbangan dan pengorbanan pasukan keselamatan memerangi apa jua bentuk ancaman termasuk komunis telah berupaya mewujudkan suasana aman dan sejahtera.
Keadaan ini memungkinkan pembangunan pesat negara dengan dilaksanakan secara teratur dan berkesan. Malah, rakyat dapat menjalani kehidupan harian tanpa rasa takut atau gusar.
''Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita (semua rakyat) bersama untuk sama-sama menentukan suasana keamanan dan kestabilan negara ini sentiasa terpelihara.
''Perkara ini tidak hanya dibebankan kepada bahu warga tentera sahaja, malah melibatkan semua pihak.
"Keamanan dan kedamaian yang dikecapi hari ini adalah kurniaan Allah SWT, hasil usaha gigih dicurahkan pelbagai pihak.
''Warga tentera adalah perisai dan benteng pertahanan negara,'' katanya.

No comments: