Followers

Hikayat Pak Kadok dan bukti ianya bukan hanya cerita dongeng

Lagenda Ikan Tapah - Hikayat Pak Kadok

Cerita ini bermula dari mulut ke mulut dan dikumpulkan oleh Haji Pandak Logam Bin Pandak Demat salah saorang keturunan Pak Kaduk yang terlibat sepenuhnya menyimpan dan menjaga emas kerongsang Ikan Tapah, beliau dilahirkan pada tahun 1873 dan telah meninggal dunia pada tahun 1963 dalam usia 90 tahun

Bermula Kisah
--------------------------------------------------------------------------- -----
Di zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah, permainan menyabung ayam amatlah disukai ramai, ianya menjadi satu temasya hiburan di samping menonton dan berjudi. Permainan ini melibatkan semua golongan daripada rakyat jelata, bangsawan sehinggalah Sultan.

Si Kaduk
--------------------------------------------------------------------------- -----
Kebetulan pada zaman itu, seorang pemuda berketurunan raja daripada Negeri Siak, Sumatera yang bernama Kaduk memulakan pelayaran datang ke Negeri Perak untuk mencari tempat baru, akhirnya telah sampai ke satu tempat di tepi Sungai Perak bernama Lambor (Menurut cerita mulut Pandak Logam) di Kampung Pulau, Lambor Kiri, di sana Kaduk diterima baik oleh masyarakat kampung dan akhirnya dijodohkan dengan seorang gadis kampung dan menetap beberapa lama di sana (Kampung Pulau Lambor Kiri). Kaduk mempunyai kegemaran menangkap ikan, mencari rotan dan menyabung ayam. Adapun menyabung ayam adalah satu permainan yang amat digemarinya

Ayam
--------------------------------------------------------------------------- -----
Pada suatu hari Kaduk ternampak seekor ular sedang menggonggong sebiji telur ayam dan meletakkannya di atas tanah berhampiran rumahnya, kemudian ular tersebut pun berundur dan menghilangkan diri. Kaduk pun mengambil telur tersebut dan dieramkan oleh ayamnya. Telur tersebut akhirnya menjadi seekor ayam sabung yang cantik dan handal dan dinamakan Biring Si Kunani. Ayam ini sentiasa menang dalam semua pertandingan sehinggakan semua penduduk termasuk pembesar Istana takut dan tidak mahu menyabung dengan ayam Kaduk. Kaduk menjadi resah kerana tidak menyabung dan akhirnya Kaduk menerima apa juga syarat yang dikenakan asalkan dia dapat menyabung ayam

Pertarungan Ayam
--------------------------------------------------------------------------- -----
Berita kehebatan ayam sabungan Kaduk mendapat perhatian daripada Sultan, lalu baginda mencabar Kaduk untuk menyabung ayam dengan syarat yang ditetapkan oleh Sultan. Syarat-syaratnya ialah: Ayam Kaduk hendaklah ditukarkan dengan ayam Sultan yang bernama Si Jalak Putih Mata . Pertaruhannya adalah kampung halaman dan isi rumahnya

Dan di pihak Sultan pula:
Kaduk akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan negeri jika ayam Sultan kalah.
Tanpa berfikir panjang Kaduk menerima syarat-syarat tersebut kerana sudah lama tidak menyabung ayam.


Rumah Hjh Hasmah, Kg Tua

Kekalahan
--------------------------------------------------------------------------- -----
Sebagaimana yang dijangkakan pada peringkat awal, ayam Kaduk yang ditukarkan dengan Sultan telah menang. Kaduk pun bersorak kerana ayamnya menang, tetapi dia lupa bahawa ayam itu telah menjadi milik Sultan. Setelah pengumuman dibuat baru lah Kaduk sedar bahawa dia telah dipermainkan oleh Sultan.

Maka dengan berpegang pada janji dan syarat penyabungan Kaduk terpaksa menyerahkan kampung halamannya, isteri dan anak perempuannya kepada Sultan, hanya yang tinggal pada Kaduk sehelai sepinggang dan seekor kucing kerana masa Sultan mengambil pertaruhan kucing tersebut tiada di rumah, kalau tidak semuanya akan menjadi milik Sultan.

Kaduk pun berundur ke sebuah pulau (Pulau adalah satu tempat di tepi tebing Sungai Perak dimana orang menanam padi Huma) bersama kucingnya dan tinggal di sebuah dangau. Sambil Kaduk memikirkan masa hadapannya kucing itu datang sambil mengiau-ngiau dan mengigit kaki kaduk seakan memberitahu sesuatu, puas juga dihalau kucing tersebut tetap juga begitu.

Kaduk pun mengikut kucing tersebut ke tepi tebing sungai, apa yang didapatinya ialah seekor ikan tapah yang besar, Kaduk pun berlari ke dangau dan mengambil mata tuai yang terselit di celah atap lalu dibelahnya perut ikan tapah tersebut dan keluarlah emas dengan banyaknya. Kaduk bersyukur dan beranggapan itu adalah rezeki daripada Tuhan

Sumpah
--------------------------------------------------------------------------- -----
Maka Kaduk pun menjahit perut ikan Tapah tersebut dengan menggunakan jarum patah dan berbenangkan urat batang pisang lalu melepaskan ikan itu semula ke dalam sungai. Semasa inilah Kaduk melafazkan sumpahnya yang berbunyi:

"Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barang siapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya..."

Ikan Tapah itu terus menyelam dan timbul sekali seolah mengucap selamat tinggal dan kemudiannya hilang ke dalam air


Hajah Hasmah Binti Pandak Logam yang kini tinggal di Kampung Tua, Batu 16, Lambor Kanan

Tebus
--------------------------------------------------------------------------- -----
Kaduk pun pergilah mengadap Sultan dan menebus kampung halamannya dan anak isterinya, dan bakinya sebahagian disimpan untuk menyara hidupnya dan sebahagian lagi dibawa ke Kampar untuk dijadikan barangan perhiasan, kerana di zaman itu tukang emas hanya berada di Kampar Sumatera sahaja.

Kepada anak cucu Kaduk, sebagaimana disebut dalam sumpahannya dan telah terkena penyakit yang disebutkan kerana memakan, mengkhianat secara sengaja atau tidak sengaja, terkena air-air dari Ikan Tapah maka ubatnya ialah dengan menyapu atau meminum air yang direndam Kerongsang Emas Tapah sebagai penawar bisa sumpahan tersebut. Adalah difahamkan bahawa ada keturunan Kaduk yang tidak boleh melintasi asap masakan isteri jika yang dimasak itu adalah ikan Tapah. Setelah segala nya selesai Kaduk tidak menyabung lagi dan hiduplah Kaduk dalam aman damai dan sentiasa mensyukuri rezeki yang diberikan Allah serta melakukan amal ibadah dengan taatnya sehingga berlaku perkara-perkara luar biasa

Diantaranya Sultan Perak melantik Kaduk menjadi Orang Besar Jajahan yang membawa gelaran Tok Tua Sakti yang mana tugasnya memberi nasihat dan tujuk ajar kepada Datok Bendahara Garang mengenai selok belok tempat di Aceh dalam usaha membawa pulang Puteri Limau Purut dari Istana Aceh sebagaimana dalam kisah Megat Terawis.



Pemegang Amanah Emas Kancing Ikan Tapah
--------------------------------------------------------------------------- -----
Emas Kancing adalah satu-satunya saki baki emas Ikan Tapah yang masih ada, ianya berbentuk Empat Segi Iris Wajik digunakan sebagai Keronsang baju wanita. Jumlah yang ada sekarang ialah sebanyak tiga keping dan ini lah digunakan sebagai penawar kepada cucu atau keturunan Kaduk jika terkena bisa Ikan tapah.

Sekarang Emas Kerongsang Ikan Tapah di jaga oleh salah seorang keturunan Pak Kaduk yang bernama Hajah Hasmah Binti Pandak Logam.



info ini dari http://mizteryjw.blogspot.com

Rejimen Askar Melayu DiRaja

Rejimen Askar Melayu DiRaja (atau Askar Melayu) merupakan satu pasukan tempur infantri dan merupakan rejimen tertua di dalam Tentera Darat Malaysia. Askar Melayu, bersama-sama dengan Rejimen Renjer DiRaja merupakan pasukan tempur infantri utama di dalam Tentera Darat Malaysia.
Rejimen Askar Melayu DiRaja merupakan pasukan terunggul di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Pada kemuncaknya, pasukan ini mempunyai kekuatan sebanyak 27 batalion. Askar Melayu kini mempunyai kekuatan 25 batalion.
Askar Melayu hanya dianggotai oleh anggota-anggota berketurunan Melayu sahaja, tidak seperti Rejimen Renjer DiRaja dan lain-lain rejimen dalam Tentera Darat Malaysia yang boleh dianggotai oleh anggota dari pelbagai kaum.

Penubuhan
Sejak penjajahan oleh Kerajaan Kolonial British, pasukan-pasukan Tentera British dan juga Tentera British India (British Indian Army) seperti pasukan “Burma Rifles” telah ditugaskan untuk mengawal keselamatan. Ini melibatkan kos yang tinggi kerana pasukan-pasukan itu terpaksa dibawa daripaada Britain dan India untuk berkhidmat di Tanah Melayu.
Semenjak tahun 1902, Raja-Raja Melayu terutamanya Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak), Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah (Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan), Raja Chulan (Kerabat DiRaja Perak) dan Dato Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau) telah menggesa Kerajaan Kolonial British di Malaya untuk menubuhkan satu rejimen tentera yang dianggotai oleh orang-orang tempatan.
Pada 23 November 1932, Jabatan Perang British memberikan persetujuan untuk penubuhan satu pasukan Askar Melayu sebagai satu rejimen tempatan dalam Angkatan Tentera British (Rejimen ini dilatih dan diurus oleh Rejimen Tentera British Malaya). Pada 23 Januari 1933, Majlis Perundingan Persekutuan (Federal Consultative Council) telah meluluskan Akta No. 11 yang dikenali dengan nama Akta Rejimen Askar Melayu dan meluluskan peruntukan $70,000 bagi pembelian Kong Sang Rubber Estate di Port Dickson untuk tapak bagi kegunaan sebagai Pusat Latihan Rekrut Askar Melayu.
Pasukan Askar Melayu bermula dengan penubuhan Kompeni Percubaan Pertama (1st Experimental Company) pada tahun 1933 dan merupakan titik permulaan pasukan tentera anak watan di Tanah Melayu.
Pada 1 Februari 1933, seramai 25 orang anak Melayu daripada 100 orang calon telah dipilih sebagai “sesuai untuk diambil menjadi rekrut” di dalam pasukan Askar Melayu.
Pasukan Askar Melayu ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1933 di Haig Lines, Port Dickson, Negeri Sembilan. Pasukan ini di letakkan di bawah perintah Mejar G. Mc Bruce , sementara Kapten K.G. Exham dilantik menjadi Adjutan. Sarjan Mejar A. E. McCarthy dilantik menjadi Sarjan Mejar Rejimen dan Sarjan Kuartermaster E. Oldfiled menjadi Sarjan Kuartermaster.
Pasukan ini dikira sebagai percubaan kerana pada peringkat itu, ia bertujuan untuk menilai kesesuaian orang-orang melayu sebagai anggota tentera, dan bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri dengan disiplin tentera (Mejar Jeneral G. Mcl. S. Bruce, O.B.E. M.C. (bersara). (Petikan dari rencana "Trying it out with No. 1 Squad", Pahlawan, Vol. 1, Kuala Lumpur, 1952.)

Persenjataan seperti Colt M4A1 Carbine akan mempertingkatkan daya tempur RAMD dan rejimen lain dalam ATM.
Pada 1 Januari 1935, atas kesungguhan anak-anak Melayu di dalam Kompeni Percubaan dan dengan kegigihan Mejar S. Bruce, 1 Kompeni Percubaan Askar Melayu ditukarkan menjadi Rejimen Askar Melayu dengan kekuatan permulaan seramai 150 orang anggota. Pengambilan anggota-anggota baru dipercepatkan. Dengan penambahan 232 orang anggota baru, dua Kompeni tempur telah ditubuhkan, dengan satu pasukan Ibu Pejabat sebagai elemen perintah, dan dikuatkan dengan platun bantuan dilengakan dengan mesingan Vickers, satu seksyen Semboyan dan satu unit tambur.
Pada 1 Januari 1938, Batalion Pertama Askar melayu (1 Melayu) mempunyai kekuatan 17 pegawai british dan 6 Pegawai Melayu, 11 Pegawai Waran dan 759 Pegawai Tak Bertauliah dan anggota Lain-Lain Pangkat.
Apabila bahang perang semakin hampir, latihan ketenteraan dipertingkatkan. Latihsn jalan lasak di peringkat battalion dan peringkat briged kerapkali diadakan. 1 Melayu juga mula membuat latihan menggunakan mortar dan meriam penangkis kerera kebal. Dalam bulan Ogos 1941, satu platun bantuan ditubuhkan menggunakan 10 buah “Universal Carrier” ataupun lebih dikenali sebagai “Bren Gun Carrier’ di bawah pimpinan Kapten R.R.C. Carter. Platun bantuan ini menjalankan latihan bersama-sama Battalion ke-2 Loyals Regiment (North Lancashire) Tentera British.
Pada bulan Mac 1941, Gabenor Negeri-Negeri Selat memberikan kuasa untuk menambah kekuatan Rejimen Askar Melayu menjadi dua battalion. Batalion Ke-2 Askar Melayu ditubuhkan pada 1 Disember 1941. 1 Melayu dan 2 Melayu bersama-sama battalion Ke-2 Loyal Regiment (North Lancashire) diletakkan di bawah pemerintahan 1st Malaya Infantry Brigade. Briged ini akan memainkan peranan besar dalam mempertahankan Tanah Melayu semasa penjajahan Jepun.
[sunting] Askar Melayu Semasa Perang Dunia II
Kompeni A, Batalion Kedua adalah unit Askar Melayu pertama menentang Tentera Jepun yang mendarat di Pantai Cinta Berahi (sekarang Pantai Cahaya Bulan), Kelantan pada 8 Dis 1941. Kekuatan Tentera Jepun yang berlipat ganda telah memaksa Kompeni A berundur ke Kuala Krai dan seterusnya ke Singapura. Di Singapura, Batalion Pertama dan Kedua Askar Melayu telah berjuang bersama Tentera British menentang kemaraan musuh. Askar Melayu telah berjuang dengan penuh semangat di sekitar kawasan Pasir Panjang, Buena Vista, Labrador dan Alexander.
152 anggota Melayu (termasuk 7 pegawai Melayu) Rejimen Askar Melayu bersama 6 orang pegawai British yang dipinjamkan ke Rejimen Askar Melayu terkorban di Malaya dan Singapura semasa Perang Dunia II. [1]
[sunting] Darurat
[2] Satu peristiwa yang tidak mungkin dapat dilupakan, sekaligus menjadi satu titik hitam dalam lipatan sejarah RAMD ialah Peristiwa Kalabakan. Dalam tragedi berdarah ini, seorang pegawai dan tujuh anggota Batallion ke-3 RAMD terkoban, manakala 18 orang anggota lagi tercedera. Peristiwa berdarah ini berlaku pada tanggal 29 Disember 1963. Tempat berlakunya tragedi berdarah yang menimpa Batallion ke-3 RAMD itu terletak tidak jauh dari tebing Sungai Kalabakan. Lokasinya kira-kira 30 batu ke utara Tawau dan 12 batu ke utara sempadan Kalimantan, Indonesia. Di situ terletak dua penempatan kecil Pasukan Keselamatan Malaysia yang terdiri daripada satu penempatan Pasukan Polis Hutan dan sebuah lagi penempatan tentera terletak di suatu lereng bukit.
Kedua-dua penempatan dipisahkan dalam jarak lebih 400 ela sahaja. Pos Polis yang dipagari dengan dawai berduri mempunuyai kekuatan 15 orang anggota, manakala penempatan pasukan tentera tidak pula berpagar. Anggota Platun 1 Kompeni A dan kemudiannya disertai oleh seksyen dari Platun 10 Kompeni C ditempatkan di situ. Kawasan perkhemahan ini terletak suatu kawasan lereng tanpa sistem keselamatan serta pertahanan yang lengkap. Ini berlaku kerana ketiadaaan bekalan peralatan walaupun usaha mendapatkannya telah berulangkali dilakukan.
Menurut laporan, seramai 130 orang tentera Indonesia daripada pelbagai pasukan bergerak dari Kalimantan menyusup ke kawasan Malaysia pada pertengahan Disember 1963. Pasukan ini singgah di Serudong dalam perjalanan menuju ke Selimpopon dengan melewati Tarakan untuk ke kem balak Teck Guan dekat Kalabakan. Mereka bermalam di situ pada 28 Disember. Mejar Zainol Abidin bersama dua seksyen dari Kompeni C digerakkan ke penempatan Platun 1 Kompeni A di Kalabakan pada 29 Disember bagi memperkuatkan subunit berkenaan. Tiga buah kubu, setiap satu untuk tiga orang, dibina untuk tujuan pertahanan, Kubu berkenaan terletak di kiri dan kanan serta di Sebelah kanan belakang rumah atap dan digunakan untuk menenmpatkan senjata RISLB. Rumah berkenaan diberikan oleh Mr. Ress Pengurus Bombay Burma Timber Company Limited.
Leftenan Kolonel (Bersara) Raja Shaharudin menyatakan, beliau ada menerima maklumat yang menyatakan satu kumpulan tentera Indonesia sedang bergerak dari Kalimantan menyusup masuk ke kawasan Malaysia. Mereka dilaporkan telah merampas barang-barang dr sebuah kedai kepunyaan seorang peniaga Cina di kawasan Serudong Laut. Mereka dikatakan sedang bergerak ke arah kawasan Kalabakan.
Tidak lama selepas itu satu tembakan kedengaran memecah keheningan malam dan kemudiannya diikuti pula oleh tembakan yang bertubi-tubi. Ketika saya dan sebilangan anggota keluar dari rumah untuk 'stand to', anggota TNI telah pun mula melepasakn tembakan dan melemaprkan bom tangan ke kedudukan kami, cerita Lettenan Kolonel (bersara) Raja Shaharudin. Semua anggota bertempiaran keluar dari rumah mencari perlindungan. Sarjan Abdul Aziz berjaya menerjunkan diri ke dalam kubu dan berada bersama ketua platun serta dua anggota lagi. Kami membalas tembakan dan turut melontarkan bom tangan ke arah anggota TNI, saya kemudiannya memerintahkan anggota agar mengambil perlindungan dan tidak melepaskan tembakan kecuali mereka melihat anggota TNI.
Tembak-menembak berhenti kira-kira pukul 11.00 malam, terang Leftenan Kolonel (Bersara) Raja Shaharudin. Mr. Ress, besama seorang lalaki datang menemui Leftenan Muda Raja Shaharudin sejurus selepas pertempuran berhenti. Pada lebih kurang pukul 3.30 pagi 30 Disember 1963 satu platun bantuan yang diketuai oleh Leftenan Muda Wan Nordin bnin Wan Mohammad (12176) sampai ke lokasi platun di Kalabakan. Anggotanya diarah mengumpulkan anggota yang terkorban dan tercedera sambil memberikan rawatan sekadar terdaya. Apabila matahari pagi 30 Disember 1063 mula menampakkan sinarnya, anggota mula melakukan penggeledahan kawasan secara terperinci bagi mengumpul mayat dan anggota yang tercedera untuk dimaklumkan kepada markas batalion. Lapan anggota termasuk ketua kompeni disahkan terkorban, manakala 18 anggota lagi tercedera.

Ketika ini, 2 batalion Rejimen Askar Melayu DiRaja dikhususkan sebagai pasukan payung terjun (Para) ditugaskan menjadi komponen di dalam 10 Briged Para, asas kepada Pasukan Atur Cepat di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Dua lagi batalion Rejimen Askar Melayu DiRaja ditukarkan menjadi batalion mekanis dan membentuk komponen 4 Briged Mekanis di dalam Tentera Darat Malaysia.
Batalion-batalion selainnya dicorakkan menjadi batalion infantri standard. Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu DiRaja (lebih dikenali sebagai 1 Melayu) adalah Batalion Istiadat. Batalion ini mengadakan upacara Kawalan Kehormat dan istiadat dalam acara-acara rasmi yang melibatkan Yang diPertuan Agong Malaysia ataupun Ketua-ketua Negara. Batalion ini juga mengadakan kawalan istiadat di Istana Negara. Pancaragam Pusat Askar Melayu biasanya mengiringi 1 Melayu semasa upacara-upacara rasmi di mana 1 Melayu membuat kawalan kehormatan.


Anggota Tentera Laut Amerika Syarikat bersama dua orang anggota Rejimen Askar Melayu diRaja dalam Latihan CARAT di Mersing, Johor
[sunting] Keberanian Askar Melayu
[sunting] Leftenan Adnan dan Pertempuran di Bukit Candu
Leftenan Muda Adnan merupakan wira terulung di dalam sejarah Rejimen Askar Melayu DiRaja. Pegawai muda dalam 1 Melayu ini menunjukkan semangat juang yang kental yang akhirnya mengorbankan beliau semasa mempertahankan tanah air. Kompeni “C” 1 Melayu di bawah pemerintahan Kapten Rix telah ditugaskan mempertahankan kawasan Pasir Panjang dan Bukit Candu. Jika jatuh ke tangan Jepun, laluan tersebut akan memberikan laluan langsung ke kawasan Alexandra di mana terletaknya hospital tentera dan depot peluru.
Pada 13 Februari, kedudukan kompeni "C" diserang oleh pasukan daripada Divisyen Chrysanthemum di awah pimpinan Lt. Gen. Renya Mutaguchi. Askar Melayu bertindak cemerland mempertahankan permatang mereka dan Askar Jepun terpaksa berundur. Pada 14 Februari 1942, Kompeni 'C' bergerak ke Bukit Candu dan diperkuatkan dengan tambahan anggota Askar Melayu menjadikan kekuatan anggota di bawah pimpinan Leftenan Adnan 42 orang kesemuanya.
Pada petang 14 Februari, pihak Jepun melancarkan serangan berhelah. Leftenan Adnan memerhatikan satu kumpulan Askar India menuju kedudukan mereka, tetapi ketajaman akal Adnan tidak terpedaya dengan helah Askar Jepun yang bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British. Pasukan itu diserang dan terpaksa berundur. Dua jam kemudian, Tentera Jepun melancarkan serangan besar dan kumpulan Askar Melayu di Bukit Candu tewas. [3] [4]
[sunting] Serang Hendap Di Sungai Semur
Dalam kejadian Sungai Semur pada 25 Mac, 1950, Platun No. 12 seramai 25 anggota dari Kompeni D, 3 RAMD telah diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis dengan kekuatan seramai 250 anggota ketika menyusuri sungai tersebut kira-kira jam 10.30 pagi.
Dalam serang hendap di Sungai Semur ini, 17 orang anggota 3 RAMD terkorban dalam pertempuran menentang kira-kira 250 pengganas komunis sementara enam anggota cedera parah sementara dua lagi anggota mengalami cedera ringan. Meskipun tewas, mereka menunjukkan semangat juangn yang tinggi melawan pasukan musuh yang hampir 10 kali ganda kekuatan mereka. Malah mereka berjaya membunuh seramai 29 orang musuh.
[sunting] Pasar Bakhara di Mogadishu
Bn 19 RAMD (Mekanis) ditempatkan untuk bertugas di Mogadishu mulai 18 Jun 1993. Dalam Perkhidmatan batalion ini dengan UNOSOM, batalion ini telah ditugaskan sebagai Pasukan Atur Cepat (Quick Reaction Force) UNOSOM. Pada 3 dan 4 Oktober 1993, Pasukan Petugas US Ranger dan Delta Force(unit elit dan komando khas US ARMY) melakukan operasi untuk menawan beberapa konco kanan Mohamed Farrah Aidid. Malangnya operasi ini menghadapi masalah. Pasukan tentera tersebut terperangkap. Terdesak, Tentera Amerika Syarikat meminta bantuan UNOSOM dan 19 RAMD untuk memberikan bantuan meyelamatkan anggota Tentera Amerika yang terperangkap.
Tentera Amerika mahu menggunakan Kenderaan Perisai Radpanzer Condor milik 19 RAMD dan tidak mahukan bantuan askar 19 RAMD . 19 RAMD enggan menyerahkan Radpanzer Condor kepada Tentera Amerika, dan akhirnya satu kompromi dicapai. 19 RAMD membenarkan anggota tentera Amerika menaiki Condor, tetapi pemandu, komander dan pengendali senjata akan terdiri dari anggota 19 RAMD .
60 orang anggota 19 RAMD terbabit dalam operasi menyelamat askar Amerika berkenaan. Selepas diberi taklimat operasi, pasukan yang diketuai Leftenan Azman bergerak pada jam 11 malam. 16 buah Radpanzer Condor bergerak secara konvoi. Perjalanan ke tempat di mana tentera Amerika berlindung penuh dengan halangan, dan konvoi sering dihujani peluru dan roket. Mereka terpaksa mengelak periuk api yang ditanam di atas jalan dan tembakan penembak curi dari arah merata tempat menyebabkan pergerakan terganggu. Leftenan Azman memberi arahan dengan tenang semasa menghadapi serangan pemberontak ketika operasi menyelamat menaikkan semangat pasukan.
Akhirnya pada jam 7.45 pagi, 75 Renjer Amerika Syarikat berjaya diselamatkan. Dari 19 RAMD seorang askar telah terbunuh. Prebet Mat Aznan Awang telah terbunuh apabila roket RPG-7 menembusi kompartmen pemandu kereta perisai Kondor yang dipandunya. Peristiwa ini telah menjadi inspirasi kepada pengeluar filem Amerika untuk menerbitkan sebuah filem berjudul "Blackhawk Down" bagi 'mengenangkan' kembali kegagalan askar-askar mereka dalam operasinya di Mogadishu. Malangnya dalam filem ini tidak ditonjolkan penglibatan anggota 19 RAMD yang telah bersama-sama menyelamatkan askar-askar elit/komando Amerika terbabit !!
Diambil daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Rejimen_Askar_Melayu_DiRaja"
Kategori: Ketenteraan Malaysia

LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Peristiwa menyayat hati ini berlaku pada pertengahan 1776, apabila anak penghulu Parit Bakar, Bacok berebutkan Dayang yang telah bertunang dengan pemuda sekampungnya, Awang.

Hampir genap tiga tahun lima bulan belayar Awang menuntut ilmu, perahu Awang tiba di Pangkalan Kuala Parit Raja Muar diwaktu pagi. Dia membawa pulang dua batang lembing kurniaan Raja Bugis, uncang yang mengandungi wang 377 duit sebagai hantaran perkahwinannya dengan Dayang sambil menjinjing bungkusan kain mastuli (kain sutera yang kasar dan kuat).

Setelah tiba Awang naik ke pangkalan, beberapa pemuda berlari-lari ke arahnya terkejut melihat Awang. Lantas mereka menyampaikan berita pernikahan Dayang dengan Bacok dan upacara persandingan yang akan diadakan selepas Asar.
"Jadi semua ini angkara Bacok!!!!!!!" kata Awang dengan geram. Pemuda-pemuda itu yang merupakan rakan-rakan Awang mengangguk-angguk. Setiba di rumah, Awang termenung panjang. Di kala itu juga darahnya tambah menggelegak apabila terbayangkan kebaculan Bacok memfitnah kononnya dia mati dalam pelayaran.
"Sedangkan lautan luas dapat kuharungi, inikan pula bumi medan tempat berpencak. Tiap-tiap yang menebus mesti sanggup membayar....." kata Awang penuh geram.

Awang kemudianya pulang kerumah keluarganya.Semasa di rumahnya pula.
"Kenapa satu lembing saja dilumuri air limau?" tanya ibu Awang.
"Tandanya lembing ini menangis mak. Ini yang betina. Ia malu kerana tak dapat disatukan dengan lembing jantan tu. Sebab itulah Awang terpaksa jauhkan antara satu sama lain. Sebab bukan jodohnya. Kalau tak diceraikan kita seisi rumah akan menangis mak," beritahu Awang. Melopong mulut ibu Awang mendengarnya.
Selepas Asar, Awang menyelinap dicelah-celah orang ramai yang sudah memenuhi halaman rumah Dayang. Di pinggangnya tersisip badik berulang mambang, sementara tangan kanannya mengenggam sebilah lembing, Awang terus menunggu kedatangan Bachok.. Riuh-rendah bunyi kompang bermula tanda pengantin lelaki akan tiba. Bacok yang segak duduk di atas tandu.

Setelah usungan tiba di depan tangga rumah pengantin, Awang terus keluar merodok mata lembing ke perut Bacok hingga mati. Suasana riang terus bertukar dgn suara jerit pekik orang ramai yang ketakutan. Darah menyembur dari perut Bacok dan pemikul usungan semua lari lintang pukang.

Beberapa tetamu bersusah payah mencabut lembing yang terlekat di perut Bacok. Sebaik sahaja tercabut, ada kuasa ghaib menyebabkan senjata itu melayang sendiri dan merodok salah seorang pengapit pengantin lelaki. Mangsa dengan kesakitan mencabut lembing daripada tubuhnya tetapi senjata itu seperti mengikut arahan Awang melayang pula mencari tetamu yang lain sehingga lembing menemui mangsa ke-99 iaitu ayah Dayang.

Dayang menangis terkejut melihat ayahnya, Dayang mencabut lembing yang terlekat di perut ayah dengan tangannya sendiri, pergerakan lembing tersebut terus "mati" selepas dipegang Dayang. Selepas Awang melihat dayang dan ayahnya,Awang terus meninggalkan Muar berlayar ke Endau.Tetapi Dayang masih menyimpan lembing berkenaan dan tidak bersuami sehingga ke akhir hayat.

Kerajaan Luwuk

Kerajaan Luwu (juga dieja Luwuq, Wareq, Luwok, Luwu') adalah kerajaan Bugis tertua. Luwu bersama-sama dengan Wewang Nriwuk dan Tompoktikka adalah tiga kerajaan Bugis pertama yang tertera dalam epik I La Galigo, sebuah karya orang Bugis. Namun begitu, I La Galigo tidak dapat diterima sepenuhnya sebagai teks sejarah kerana dipenuhi dengan mitos, maka kewujudan kerajaan-kerajaan ini dipertikaikan. Pusat kerajaan ini terletak di Malangke, Luwuk yang kini menjadi sebahagian dari Indonesia.
[sunting] Sejarah
Pada tahun 1889, Governor Belanda di Makassar,Braam Morri menganggarkan zaman kegemilangan Luwuk ada di antara kurun ke 10 hingga kurun ke 14 tetapi tidak mengutarakan sebarang bukti. Berbeza dengan negeri Bugis lain, ekonomi Luwuk adalah berdasarkan perlombongan bijih besi dan perdagangan hasil pertukangan besi. Komoditi ini kemudiannya didagangkan dengan negeri-negeri agraria Bugis di selatan Sulawesi. Kegiatan ekonomi ini memakmurkan kerajaan Luwuk dan menjadikannya kerajaan paling kuat di tenggara dan barat daya Sulawesi.
Pada awal abad ke 15, Luwuk menguasai Sungai Cenrana yang menghubungi Tasik Besar. Penempatan Luwuk pula terletak di muara sungai Cenrana, manakala di hulu sungai pula terdapat beberapa kerajaan kecil. Luwuk cuba mengekalkan pengaruhnya di bahagian barat, di jalan perhubungan antara Selat Makassar dan Sungai Cenrana melalui Tasik Besar, untuk mengawal perdagangan sumber-sumber asli di sebelah barat, mineral dari pergunungan Toraja dan sumber pertanian sepanjang Sungai Welennae. Walaubagaimanapun, Sidenreng, terletak di bahagian barat Tasik Besar telah memilih untuk berlindung di bawah Soppeng. Pada masa yang sama, daerah Sawitto', Alitta, Suppa', Bacukiki' dan Rappang, juga terletak di sebelah barat, telah membentuk satu konfederasi dinamakan ' Aja'tappareng ' (tanah disebelah barat tasik) sekaligus menyebabkan Luwuk hilang pengaruh di atas kawasan ini.
Luwuk juga turut mengalami saingan daripada beberapa penempatan Bugis lain. Di hulu Sungai Cenrana, terdapat sebuah kerajaan iaitu kerajaan Wajo. Kerajaan ini mula membangun dan menyebarkan pengaruhnya untuk mengawal kawasan sekelilingnya. Pemerintah-pemerintah di kawasan sekeliling Wajo pula di gelar 'Arung Matoa' bermaksud Ketua Pemerintah. Di sebelah selatan pula, Kerajaan Bone, di bawah pemerintahan Raja Kerrampelua, sedang meluaskan sempadannya di kawasan pertanian sekaligus membantu ekonomi Bone, menambah kuasa buruh dan kuasa tentera.
Tempoh antara 1500 dan 1530 menyaksikan kerajaan Luwuk mula merosot. Ketika itu, Luwuk diperintah oleh Dewaraja, seorang pahlawan yang hebat. Didalam pertemuan diantara Dewaraja dan Arung Matoa Puang ri Ma'galatung, seorang raja Wajo, pada tahun 1508, Dewaraja bersetuju untuk menyerahkan kawasan-kawasan di sepanjang Sungai Cenrana kepada Kerajaan Wajo sebagai pertukaran Wajo hendaklah membantu Luwuk menguasai Sidenreng. Apabila Sidenreng berjaya kalah ditangan Luwuk, negeri ini terpaksa menyerahkan kepada Wajo kawasan timur laut dan utara Tasik Besar.
Pada tahun 1509, Luwuk menyerang Kerajaan Bone untuk menyekat kuasa Bone tetapi ketika itu, Bone sudah pun menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan tentera Luwuk mengalami kekalahan. Malahan Dewaraja, walaupun berjaya melarikan diri, hampir dibunuh jika tidak kerana amaran raja Bone kepada tenteranya supaya tidak membunuh ketua musuh Bone. Walaubagaimanapun, Payung Merah milik Luwuk yang menjadi simbol ketuanan tertinggi Bugis berjaya dimiliki Bone sekaligus mengakhiri ketuanan Luwuk di negeri-negeri Bugis. Tetapi, ketuanan Luwu' masih disanjung tinggi dan dihormati oleh kerajaan-kerajaan lain di Sulawesi Selatan. Apabila Dewaraja mangkat, Wajo menyerang Luwuk dan meluaskan pengaruhnya di daerah-daerah Luwuk. Ini membolehkan Wajo menguasai beberapa kawasan-kawasan yang strategik.
Pada Februari 1605, raja Luwuk La Patiwareq Daeng Pareqbung memeluk agama Islam dan memakai gelaran Sultan Muhammad Wali Muzahir al-din. Beliau disemadikan di Malangke dan digelar Matinroe ri Wareq yang bermaksud Dia yang bersemadi di Malangke. Sekitar 1620, penduduk Malangke jatuh mendadak apabila pusat pemerintahan Luwuk bertukar ke Palopo.
[sunting] Ekonomi
Ekonomi kerajaan ini pula adalah berdasarkan industri peleburan bijih besi. Bijih besi didapati dari kawasan tinggi dan dibawa turun ke kawasan dataran pantai Malangke. Di sini, bijih besi yang dileburkan akan ditukang untuk menghasilkan senjata dan peralatan pertanian. Hasil pertukangan ini akan didagangkan ke kawasan selatan Sulawesi.

indahnya dunia jika semuanya sempurna buat kita...



Ikan sumpit buah, ikan terlampau malas

Ikan sumpit buah, ikan terlampau malas
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my


TERJEMAHAN terus kepada bahasa Melayu, "Hole in the Wall" membawa maksud lubang di dinding.

Namun di Langkawi, ungkapan itu adalah panggilan kepada laluan sempit di muara Sungai Kilim sebelum ia bertemu Laut Andaman yang menyimpan khazanah alam semula jadi hutan paya bakau.

Hutan paya laut dan sungai itu kini menjadi salah satu komponen utama Kilim Geoforest Park.

Hari ini, kebanyakan pelancong singgah untuk menikmati makanan laut segar di restoran terapung yang dibekalkan dari kolam ternakan dalam sangkar di sungai itu.

Ada beberapa kolam dan restoran, namun semua menjanjikan pelbagai jenis ikan, udang, atau ketam. Chef yang juga anak jati pulau sedia memasak mengikut cita rasa pelanggan termasuk Thai.

Lawatan ke kolam mungkin kedengaran membosankan. Namun, tanggapan itu berubah apabila mengenali pelbagai spesies unik yang tidak dijual di pasar raya.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui ikan sumpit, spesies ikan dengan ciri unik menyumpit air ke sasaran iaitu buah atau makanan di daratan.

Lebih melucukan, pengunjung dapat melihat spesies ikan terlampau malas yang tidak akan mendapatkan makanan yang tidak dilemparkan jauh sedikit dari mulutnya.

Menariknya, kawasan sekitar kolam ini turut menjadi pelabuhan kepada pemilik kapal layar yang berlabuh sementara meneruskan pelayaran mereka.

Ini kerana laluan ini yang dikelilingi bukit batu kapur sekali gus menjadikannya lokasi terbaik untuk berlindung dari cuaca tidak menentu di tengah laut.

Pemiliknya, rata-rata warga Eropah yang sudah berkeluarga menjalani kehidupan dalam ruang kecil dalam kapal layar.

Menurut salah seorang pemilik kolam ternakan, ada penduduk tempatan diupah menjaga bot dan kapal ini sementara pemiliknya kembali bercuti ke pulau ini.

Jika ada berhasrat mencuba pengalaman kehidupan ringkas di tengah laut, anda boleh bermalam rumah bot di muara sungai.

"Namun, tempahan awal diperlukan kerana ia sudah popular di kalangan pengembara warga asing lantaran kadar murah iaitu kira-kira RM50 semalam," katanya.



Gua Kelawar

Kunjungan ke Sungai Kilim bagaimanapun tidak lengkap jika anda tidak singgah ke Gua Kelawar, kira-kira 10 minit perjalanan dari jeti berhampiran Galeria Perdana.

Perlu diingatkan, pakaian sesuai diperlukan kerana keadaan gua yang agak hamis kerana dihuni ribuan kelawar, selain lampu picit untuk melihat aktiviti hidupan ini dari jarak dekat.

Ada dua gua utama di sini, yang pertama agak kecil dengan keluasan sekitar 270 meter (m) persegi dan bumbung lebih rendah (sekitar tiga m).

Seperkara yang menarik apabila melewati gua pertama ini, anda boleh menemui kulit siput dan cengkerang bertaburan di dinding dan siling gua.

Menurut pemandu pelancong kami, ini kerana gua itu adalah dasar sungai yang berpasir sebelum terangkat menjadi daratan jutaan tahun lalu.

Gua kedua lebih luas, kira-kira 750 m persegi dan memiliki siling setinggi 10m. Ia berbentuk seperti terowong sepanjang kira-kira 60m.

Boleh dimasuki menerusi bahagian utara dan selatan, ia turut memiliki pelbagai bentuk stalaktit dan stalagmit mengkagumkan.

Ada pelbagai spesies kelawar yang mendiami dinding gua, namun sukar untuk meneka apabila ribuan hidupan ini berterbangan di atas kepala.



Hidupan Liar

Lazimnya, kebanyakan pemandu pelancong membawa pengunjung berkenalan dengan pelbagai spesies bakau sepanjang perjalanan menyusuri Sungai Kilim.

Jika langkah kanan, pengunjung dapat melihat memerang, burung raja udang dan helang laut yang menghuni hutan paya laut ini.

Ada kalanya dapat menyaksikan ikan lumba-lumba seakan bermain mengejar alunan ombak kecil ditinggalkan deruan enjin bot.

Namun, tarikan utama di Sungai Kilim adalah menyaksikan puluhan helang terbang dari sebalik bukit batu kapur untuk "menjamu rezeki" di bawa pengunjung.

Kumpulan helang ini dapat dilihat dari jarak dekat terbang rendah untuk mendapatkan daging di permukaan air.

Ada juga pelancong yang memilih untuk berkayak semata-mata mahu menghampiri kumpulan helang ini yang menjadi tarikan pelancongan utama sungai ini.



Tarikan lain

Lazimnya, selepas Sungai Kilim, pengunjung akan dibawa dunia baru untuk meneroka gugusan pulau kecil yang membentuk Langkawi.

Semuanya kecuali pulau utama Langkawi dan Pulau Tuba, tidak berpenghuni, namun menjanjikan pelbagai jenis tarikan untuk diterokai.

Tasik Dayang Bunting adalah komponen utama Dayang Bunting Marble Geoforest Park menyimpan marmar terbaik di dunia.

Pengunjung perlu merentas denai sebelum dapat menikmati pemandangan indah tasik air hijau terbentuk dari runtuhan gua batu kapur sedalam bangunan empat tingkat ini!

Namun, luangkan juga masa untuk meneroka pulau kecil terbentuk 220 juta tahun lalu seperti

Lima, Tuba, Bumbun, Singa Besar, Singa Kecil dan Jong.

Setiap satunya menawarkan landskap geologi menarik sesuai dengan formasi batuan pelbagai bentuk seperti kapal dan muka manusia.

Pulau Langgun pula menjadi tumpuan pelancong yang mahu bermalam di tapak perkhemahan dan keindahan tasiknya.

>Info

> Lawatan ke Geoforest Park Kilim diaturkan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada). Maklumat lanjut mengenai pakej pelancongan di Kilim Geoforest Park, layari www.lada.gov.my.

Nostalgia desa

Nostalgia desa
DEKORASI unik sempena promosi The Rah-Rah Jom Balik Kampung ke Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, ternyata mencuri perhatian ramai.

Mengimbau kembali nostalgia kemeriahan suasana Aidilfitri di desa sekitar 1950-an, segala keindahan itu diterjemahkan menerusi binaan rumah kampung berlatarkan karikatur menarik.

Suasana dizahirkan menerusi tiga bahagian pusat tumpuan pasar raya berkenaan apabila semua gerai berkonsepkan perkampungan 1950-an dengan membawa jalan cerita tersendiri.

Persekitaran lebih terasa dan memori bersarang semula apabila mendengar dendangan lagu raya klasik yang menusuk kalbu.

Ketua Pengiklanan dan Promosi Mid Valley City Sdn Bhd, Jess Loo, berkenaan promosi yang berlangsung sehingga 22 September ini adalah acara tahunan sempena Aidilfitri.

"Ia sebagai pelengkap suasana membeli-belah dan bagi menimbulkan mood hari raya kepada pengunjung.

"Tahun lalu, kami pernah mewujudkan suasana kampung nelayan dan kali ini ceritanya lebih kepada mengimbau nostalgia perkampungan era 1950-an," katanya.

Bermula dengan perjalanan balik kampung yang ketika itu menggunakan pengangkutan awam, latar keunikan stesen kereta api bahagian selatan berasaskan papan dibarisi kedai buku MPH, warung kopi, kedai emas Poh Kong, Poppop, Metrojaya dan Ipoh Kacang putih.

Kehadiran basikal tua dan kereta antik di bahagian berkenaan mencuri tumpuan sesiapa saja yang lalu di situ.

Sebaik sampai ke stesen kereta api itu, anda meneruskan perjalanan ke kampung halaman di centre court.

Suasana kampung diilhamkan sepenuhnya hingga menjadi lokasi tumpuan kepada pelanggan pusat beli-belah itu merakam kenangan.

"Ia juga antara usaha memperkenalkan keunikan Aidilfitri di desa kepada masyarakat Cina, India dan pelancong asing.

"Bagi merealisasikan suasana realiti sebuah desa, aspek pencahayaan pelita, lampu klasik dan lilin ditampilkan supaya nostalgia silam itu dapat dinikmati sepenuhnya," katanya.

Rumah berada di tengah sementara halaman dipenuhi dengan pelbagai jenis gerai yang menjual keperluan Aidilfitri seperti Coconut, Crabtree & Evelyn, Elianto, Famous Amos, Hurley Collection, Karyaneka, Khazanah, KT Songket, Lovely Lace, Sinma, SIS dan Top Cookies.

Rasai pengalaman di pasar malam menerusi bahagian north court dengan pelbagai gerai menjual hidangan hari raya, rendang, lemang, ketupat dan kurma Jusco, roti dan biskut Rotiboy, baju kurung, aksesori dan mekap Arzu, Kriteria dan Silky Girls.

Aktiviti menarik termasuk permainan tradisional teng teng, batu seremban dan congkak turut diadakan selain persembahan tarian tradisional dan instrumen.

"Secara tidak langsung latar dekorasi, permainan dan persembahan tradisional ini mengimbau kenangan silam era 1950-an selain memberikan pengalaman baru kepada generasi muda," katanya.

Sementara itu, anda berpeluang menderma barangan Aidilfitri kepada rumah kebajikan terpilih di Charity Bazaar bermula 9 hingga 13 September ini.

Barangan termasuk biskut, aksesori, perabot, hiasan rumah dan pakaian boleh didermakan.

Pulau suci

Pulau suci
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

EMPAT tahun lalu, ramai terpesona dengan kawanan kecil dugong di perairan berhampiran pantai di Kota Belud, daerah indah yang menjadi jelapang padi di utara Sabah.

EMPAT tahun lalu, ramai terpesona dengan kawanan kecil dugong di perairan berhampiran pantai di Kota Belud, daerah indah yang menjadi jelapang padi di utara Sabah.

Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana keba nyakan pantainya masih suci dari pembangunan berikutan banyak aktiviti pelancongan lebih bertumpu di Semporna.

Pulau Mantanani, kira-kira 20 batu nautika dari Kota Belud, dihuni masyarakat Ubian yang membuka kampung sebelum Perang Dunia Kedua, dikatakan antara tercantik di negeri itu.

Menurut rakan wartawan Sabah, pulau di pantai barat Sabah itu memiliki perairan jernih dan terumbu karangnya yang masih terpelihara lantaran lokasinya agak terpencil.

“Mereka yang mahu ke sini perlu mengambil bot dari jeti di Kuala Rampayan, kira-kira setengah jam dari pekan Kota Belud,” katanya.

Namun, jika berpeluang ke daerah ini, jangan lupa me nyusuri jalan perkampungan melewati persisiran pantai panjang yang masih belum dibangunkan berhampiran Kuala Rampayan.

Sehingga kini, pantai berhampiran dengan perkampungan ini masih belum dibangunkan, namun ada beberapa pe nginapan chalet untuk mereka yang mahu bermalam.

Bagi warga Malaysia Timur, Kota Belud lebih dikenali dengan imej Koboi Timur menerusi perarakan kuda berhias Bajau sempena sambutan Tamu Besar pada Mei, setiap tahun.

Keunikannya terletak pada persalinan sutera, kostum warna terang seperti merah, hijau, kuning dan putih yang menghiasi kuda dan penunggang.

Kepelbagaian warna simbolik kepada kemegahan pemilik kuda ini dikatakan ‘dipinjam’ daripada pakaian penjajah Sepanyol pada abad ke-16 dengan lengan besar dan be renda.

Sepanjang di Kota Belud, jangan terkejut jika anda boleh menemui kuda yang menjadi haiwan peliharaan dan ke banggaan masyarakat di utara Sabah ini.

Pemandangan ini juga dilihat penulis menerusi tugu patung haiwan itu yang menyambut kedatangan pelancongan di tengah pekan dan pada motif tenunan masyarakatnya.

Selain keunikan penghasilan parang Bajau, warganya boleh berbangga seni kraf etnik Iranun seperti tenunan sambitan yang masih dipakai secara meluas di majlis keraian.

Tenunan Dastar pula dihasilkan dengan banyak meng gunakan motif tenunan dalam bentuk geometri seperti tuarah, boras, saledap, onsod, sheku, samping gapas dan anunan.

Mugah pakaian tradisi yang digunakan pembesar etnik itu pada era kegemilangan kesultanan Sulu di Filipina dan Borneo Utara (nama lama bagi Sabah).

Ketika Tamu Besar ini, pelancong boleh mendapatkan pelbagai barangan kraftangan termasuk parang Bajau yang warisan pertukangan warisan masyarakat di pedalaman Sabah itu.

Namun, jangan terkejut jika mendapati tamu yang menjadi nadi masyarakat ini turut menjual haiwan hidup seperti kerbau dan lembu serta alat muzik tradisional.

Sehampar ambal tabriz

Sehampar ambal tabriz
Oleh Najibah A. Bakar
I
AMBAL berwarna terang yang disangkut di dinding ruang tamu bercat pic, kutatap tanpa berkedip. Kubetulkan letak kaca mata supaya ruang pandangku lebih jelas.
Beg pakaian yang kusandang, berlapik blaus oren berbunga halus dan selendang warna senada, tiba-tiba terasa berat. Ceria yang menguasai diri sejak melihat mata Su Aida selepas tiga tahun tidak bersua di Lapangan Terbang Bayan Lepas, hilang begitu sahaja.
Entah bagaimana ambal ini menghias manis ruang tamu kediaman Su Aida. Dadaku berdebar-debar menelah, meskipun keyakinanku begitu tebal mengatakan itu ambal buatan tangan gaya Tabriz. Kuteliti warna latar krim yang menonjol dominan, disertai imej turanj di bahagian tengah dan motif bunga-bungaan dan dedaun paut-memaut di bahagian tepi, arabesque yang sering mencairkan jiwa para peminat seni Islam. Gah mempesona kehalusan tangan penenun oriental yang cekal, mengikat simpulan demi simpulan benang raj, adakala sehingga beratus jumlahnya dalam setiap inci persegi. Celupan warnanya sedaya upaya memiliki warna alam - biru tua meminjam warna nila pekat, krim meminjam warna bunga teluki, hijau meminjam warna daun, coklat meminjam warna kayu serta tiga rona merah daripada gelap sehingga terang; warna bunga-bungaan. Pesona mata dan hiburan nurani sekaligus.
Mataku akhirnya beralih separuh enggan meneliti tanda nama pembuat ambal itu. Tersenggeng pada sisi vertikal sebelah kiri dalam kaligrafi Nasta‘liq. Alif. Jim. Aku terkesima. Tidak mungkin dia. Aku cuba menolak sangka yang mungkin sekadar kebetulan. Bukan namanya sahaja dalam dunia ini berpangkalkan A dan J, walaupun hubungannya dengan ambal dan Tabriz mengecilkan kebarangkalian itu.
Ya Tuhan!
Nafas berat mengasak dadaku serta-merta. Kurasakan seolah-olah seluruh wajah yang akhir-akhir ini semakin mencengkung dek kesibukan projek pameran seni bina Islam terhenti alir darahnya. Mungkinkah suatu kebetulan boleh menyusup sedekat ini ke dalam hidup? Misteri apa ambal Tabriz ini muncul di Bayan Lepas di kediaman Su Aida, ibu saudaraku?
Sesusuk bayangan pemuda sederhana gempal meliuk-lentuk dalam jemala ingatan. Alisnya yang tebal melintang tirus atas sepasang mata coklat, hidungnya yang mancung tinggi tipikal lelaki Parsi dan bibirnya yang tipis merah; muncul bagaikan fatamorgana di tengah gurun gersang. Ali. Ali Jamshid. Di mana agaknya pemuda Tabriz penenun ambal yang kuanggap benteng budaya itu sekarang? Batinku benar terganggu oleh ambal 4 x 6 kaki, kini di depan mata. Kakiku yang bersarung celana denim biru tua membeku antara anak-anak tangga, terbius oleh sebuah kebetulan atau entah sebuah jawapan.
“Razwina, mari Su tunjukkan bilik.” Kubungkus semula memori lama kembali ke ruang kenangan, lalu kuhayun langkah menuju suara lunak Su Aida di bilik tetamu yang telah dihiasi ros merah dan baby breath segar. Namun sang bunga tidak dapat menawanku kembali daripada gangguan sebentang ambal Iran di dinding pic Su Aida. “Nampaknya Su sudah jadi peminat kesenian Islam sekarang. Dari siapa ambal istimewa di dinding sana agaknya?" Akhirnya terlantun juga dari kotak suaraku sebuah pertanyaan, tanda mengalah kepada rasa ingin tahu atau mungkin intuisi halus yang membuak-buak.
Bibir bergincu Su Aida tersenyum sambil menuturkan jawapan yang serba membingungkan, menyauh debar lebih dalam ke dasar jantung. “Hmmm . . . kurator kesenian Islam seorang ini pantang melihat hasil seni. Tetapi cerita ambal istimewa itu, lebih pantas kita dengar dari pemiliknya. Di lapangan terbang besok, biar Naili rungkaikan semua.” Warasku beranjak dipagut resah. Su Aida barangkali dapat melihat riak halus di tasik perasaanku. “Cerita kamu? Su lihat kamu sudah banyak berubah. Barangkali sejak menyertai Muzium Kesenian Islam itukah?"
Aku pasti Su Aida mengisyaratkan perwatakanku dan pakaianku yang kini lebih sopan tenang, berbeza denganku dahulu yang riuh, lantang dan tanpa tudung, meskipun bergelar penuntut universiti Islam. Kutenung mata Su Aida sambil menarik selarik senyum penuh makna.
II
Kubikel belajarku di tingkat empat perpustakaan bukan gempa bumi petang itu, tetapi gempa wacana. Kemunculan Ali Jamshid dengan salam bertenaga menamatkan pertapaanku melayan rasa tidak puas hati tentang keputusan pasukan debat. Konon mahu menjernihkan fikir dan rasaku. Bagiku, menikmati seni reka Islam bangunan universiti kami di perlembahan Gombak jauh lebih mengubat hati. Tenang dataran masjid dan gerak-geri para penuntut meraup air wuduk di pili kolah umum, menyuburkan cambah hujah meskipun wajahku membias kecewa.
“Ada pengakuanmu dahulu, bukan? Katamu kau lebih akrab dengan nama-nama Van Gogh, Toulouse-Lautrec, Canaletto dan Gauguin, daripada mesra dengan barisan nama Qutbah, Al-Hayyaj atau adik-beradik Al-Sijzi?”
“Jadi salahku apa? Itu hanya pernyataan tulusku, Ali, dalam perbualan santai bilik persatuan. Maklumlah, aku tidak lahir dalam keluarga penenun ambal dan aku bukan pakar manuskrip!" Hangat hatiku payah sekali dingin. Kedudukanku sebagai pendebat kedua telah diberikan kepada Ali di pertandingan akhir ini, meskipun dalam pusingan terdahulu aku pernah menyandang gelar pendebat terbaik sebanyak dua kali. Itulah tuah Ali yang selama ini diam di kerusi belakang pendebat simpanan.
Alasannya remeh amat; hanya kerana dia pelajar konservasi manuskrip Arab dengan latar belakang keluarga pembuat ambal eksotik Iran. Lalu dimuktamadkan, dia pasti akan lebih menjiwai debat ini. Berbanding aku. Alasannya lagi, aku dari aliran humanistik sejarah, manakala bapaku adalah pemilik butik seni moden aliran Barat, yang cenderung melihat seni Islam itu feminin dan kurang nilai intelektualnya. Betapa prejudis. Kini, baki tiga hari sebelum bertarung hujah dengan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pencadang isu “Kesenian Islam Masih Relevan dan Perlu Diberi Nafas Baru oleh Generasi Muda Islam” berasa kurang ertinya.
“Dengar dulu, Wina. Kamu tidak salah sedikit pun. Bagiku, kedudukanmu umpama anak angsa putih, yang menganggap itik hitam itulah ibumu, semata-mata kerana itik hitam itu yang mula-mula kau pandang sebaik menetas. Tetapi jangan kau lupa, kau sentiasa boleh mencari ibu sejatimu! Sudah tentu, sama ada kau anak itik hitam atau angsa putih, bergantung dalam kelompok mana kau berada.” Aku menanggapi patah-patah kata Ali dengan kekaguman yang kusembunyikan. Sayup-sayup hatiku mengakui pemuda Iran ini, dari bangsa pengagung para penyair, mampu menyihirku dengan tutur bicaranya. Namun sayang sekali, apa gunanya pandangan Ali? Sudah tentu tidak dapat merubah prejudis para jurulatih terhadap latar belakangku.
“Bersedia sahaja, ya Wina. Siapa tahu rencana Allah di sebalik rencana kita?" Begitu pesannya sebelum melangkah meninggalkanku di kubikel. Bibir tipisnya mengorak senyum paling manis sejak empat bulan kami saling melontar idea dan kritikan di medan latihan debat.
Malam sebelum debat itu berlangsung, malam latihan terakhir di bilik persatuan untuk merumuskan keupayaan kami di pentas sebenar, pecah kecoh dalam pasukan kami. Ali tiba-tiba diserang flu keras dan demam. Dia memakai baju panas mendatangi latihan dengan wajah merah oleh suhu tinggi, dan akhirnya rencana Allah menukar peranan kami kembali.
Kuperas jawapan Ali habis-habisan selepas universiti kami menjadi juara debat keesokannya. Ali mengaku tulus, demam jasmaninya itu memang dicarinya sendiri, asal dapat menyisih kemuraman yang merajai wajahku. “Demamku bahang kasih, Wina.” Guraunya penuh makna. Dia menatapku sungguh-sungguh, sampai aku jadi malu.
Sejak saat itu, ambal persahabatanku dan seorang Ali Jamshid bukan lagi dari bebenang kapas biasa, tetapi dari bebenang sutera yang disimpul erat jalinan kasih. Dia menuntunku sebagai anak angsa putih – ya, dia dalam kelompok yang menganggapku angsa putih – menemui ibuku yang sejati.
“Kita wajib meneroka kembali khazanah kesenian Islam selama seribu tahun yang telah dipisahkan daripada kita, Wina.” Begitu dalam perjalanan cita, kami sama-sama belajar menikmati seni menuju amanatnya yang tertinggi, gerbang ke lorong cinta Ilahi. Kami percaya pintu hidayah tidak semata-mata terbuka dengan pedang, tetapi juga dengan seni.
Bukan namanya kasih sejati jika tidak melahirkan pemberani yang sanggup menerima tanggungjawab daripada wali seorang gadis. Begitu Ali yang kukenal, dia memang seorang pahlawan seni, juga pahlawan cinta. Ayah menyambut Ali dingin sekali pada cuti semester tahun akhir itu, sekadar memenuhi syarat memuliakan tamu, namun Ali rela menadah amarah dan merendah diri. Betapa suasana tenang di rumah kemudiannya huru-hara oleh taufan ayah.
“Tidak ada anak gadis ayah akan menikahi Syiah, faham? Dan tidak sekali-kali anak penenun ambal itu.” Kata-kata itu seperti guilotin memotong leherku. Aku hulurkan pada ayah segala rasional yang kutahu. Syiah atau Sunni itu wujud hanya gara-gara percakaran politik dunia Islam. Kedua-duanya masih Muslim. Sunni atau Syiah, darah kedua-duanya masih tidak halal untuk ditumpah. Aku petik fatwa Al-Azhar. Aku petik pandangan Muhammad Mahdi Akef. Aku berjuang untuk Ali dan janji kami. Lalu kutunggu hati panas ayah menyejuk, berdoa dan bersabar dalam sujud, tepu harap.
Hari penuh sejarah itu, selepas lima bulan kami merayu dan memujuk tanpa jemu, ayah menurunkan cap mohor atas kasih kami. Restunya bersyarat. Ali meraup wajah tanda syukur di sofa ruang tamu, memantapkan hatiku sungguh-sungguh bahawa cabaran ayah itu bakal dapat dipenuhinya. “Hanya sehampar ambal, Wina. Aku akan menenun yang paling cantik. Ambal cita kita!"
Begitu akhirnya Ali kembali ke Tabriz, demi melaksanakan syarat ayah. Tunggu aku, rayunya. Namun, sejak itu juga aku tidak pernah menemui Ali. Sehabis daya kuhubunginya. Sistem pesanan ringkas, telefon, mel elektronik dan hubungan masa sebenar dunia maya kekal sepi. Demi menghidupkan bara ingatan padanya di dupa hati, kukejar gelar kurator Muzium Kesenian Islam hingga berhasil. Kucari raut wajahnya antara para pengunjung muzium saban tahun. Kucari raut wajahnya dalam pameran antarabangsa di negara-negara persinggahanku. Kupegang janjinya menenun sehampar ambal lambang cita kami. Bertahun-tahun kutunggu.
III
Mataku tertancap ke arah sesusuk tubuh tinggi lampai yang baharu keluar dari pintu balai ketibaan Lapangan Terbang Bayan Lepas. Itulah susuk tubuh yang kukenal sejak kecil, Naili Sukma. Kucari-cari tampang lelaki Iran sederhana gempal yang kubayangkan akan berjalan tegap di sampingnya, namun mataku menjamah wajah dan badan seorang pemuda yang terlalu berbeza.
Sewaktu Naili dan pemuda itu kian menghampiri aku dan Su Aida dari celah-celah kumpulan manusia dan tumpukan bagasi penumpang lain, hatiku bagai luruh dari dada ke lantai lapangan terbang. Kakiku meliuk seperti ilalang, hanya kekuatan semangat sahaja menyekatku daripada tumbang. Aku tatap sepenuh hati lelaki yang kini tepat berada di hadapanku, berdiri di sisi Naili dengan senyuman. Dia benar-benar lelaki itu, yang kutunggu sepenuh jiwa.
Namun dia bukan lagi Aliku yang dahulu. Ali Jamshid yang menghilang dalam wujud yang sempurna. Bahagian kiri wajahnya telah diparuti kesan luka, dan sebelah rongga matanya telah kosong dari alat indera lihat, hanya ditutupi kulit kelopak mata yang berkeriput oleh parut bekas jahitan. Syukur sekali sebelah mata coklatnya masih berfungsi, dan mata itulah memberi tanda dia mengenaliku - ada manik basah muncul di tubirnya. Bibir tipis Ali pantas menyebut namaku tanpa keliru. Naili dan Su Aida bertukar pandang, kebingungan. Kubiarkan.
Kuamati tubuh Ali yang kurus sekali di sebalik kemeja kuning berlengan panjang. Empangan air mataku musnah sewaktu kusedar tangannya kini tidak lagi sepasang. Sebelah kakinya juga, kelihatan kerdil oleh kecacatan. Mindaku berlari antara garis mimpi dan realiti yang berpilin kusut.
Malam itu di banglo pinggir Bayan Lepas, lima tahun yang hilang antara aku dan Ali menjadi seperti dongeng. “Selepas kudengar ISESCO mengumumkan negaramu sebagai Kota Kebudayaan Islam, cita-citaku yang bertahun-tahun dingin oleh kecelakaan bom di Mashhad hangat semula. Kufikir jalan pembebasan diri dari menyesali takdirku biarlah dengan memburu sarjana sejarah dan peradaban Islam di Exeter. Di sanalah kujual ambal itu kepada Naili, sebelum kami bersahabat dan aku bertandang ke mari. Bukan tidak mengenangmu dan janjiku, tapi aku bukan lagi Ali yang dulu.”
Pandangan kami yang bersatu beralih menatap ambal yang digantung manis di ruang tamu. Sehampar ambal tenunan cita, yang sempat disudahi Ali sebelum melawat saudaranya di Mashhad. Tiada lagi hutang janji antara kami, hanya keinginan melangkah seiringan ke gapura cita.
“Jangan biar apapun merobohkan bentengmu lagi, Ali!”
ARKIB : 16/08/2009
Fort Margherita
Oleh Mohd. Ali Bin Salim
MATAHARI hampir ke tengah ketika Suntong leka mencari rezeki di Sungai Sarawak. Jala ditebar ke permukaan air lalu menyerkap udang dan ikan. Suntong bertubuh sasa membongkok mengutip ikan dan udang yang sangkut pada jalanya. Jauh sudah dia berkayuh dari kampung Boyan menuju ke arah Astana. Kayuhannya lancar. Nasib baik dia tidak terpaksa menyungsung benak, fikirnya. Benak hanya milik Batang Lupar dan Batang Sadong. Suntong kini menghampiri tebing di bawah lembayung daun pokok pukul lima.
“Kubu Margherita memang kukuh, bahan binaannya adalah batu. Dulu ketika pemerintahan James Brooke kubu di Berlidah dibuat daripada kayu belian dan kerap diserang musuh. Tetapi Kubu Margherita tetap kukuh tanpa sebarang percubaan serangan oleh pejuang. Di situ ada gudang senjata dan bilik tahanan banduan sebelum menjalani hukuman mati.” Suntong teringat kata-kata Datu Bujang.
“Tiap-tiap malam, dari situ datangnya suara gagah pengawal-pengawal berteriak menyatakan keadaan terkawal. Itu kerja kau, kalau kau sanggup. Yang penting kau belajar guna senjata orang putih.” Masih terngiang-ngiang di telinga Suntong pujukan Datu Bujang agar dia setuju masuk pasukan Renjer Sarawak.
Suntong pernah berkhidmat sebagai Renjer Sarawak dan menjaga kubu putih. Tetapi kini Suntong mahu meruntuhkan kubu itu dan mengusir Brooke. Dia pernah meluahkan hasratnya kepada Datu Bujang. Dia tidak takut menyatakan hasrat kepada bapa saudaranya. Dia boleh berjuang walaupun sendirian. Badannya tegap berotot kuat.
“Bercakap kena berfikir, pandang-pandang, jangan ikut sedap mulut nanti badan binasa.” Datu Bujang menepuk bahunya.
“Sampai bila kita nak diam?" Suntong memprotes dengan nada geram. Datu Bujang mahu Suntong berhati-hati menyusun rancangan dan usah gopoh. Suntong diingatkan tentang kegagalan Syarif Masahor dan Datuk Patinggi Abdul Gapur dalam usaha menyerang Kuching. Rahsia pecah hingga sampai ke telinga Raja Charles Brooke.
Geram hati Suntong menjadi-jadi ketika melihat tebing tinggi bertanjung itu. Dia melihat kubu berwarna putih tegak megah. Kubu itu diberi nama Margherita sempena nama isteri raja penjajah. Kubu putih itu seolah-olah mengejek Suntong yang mahu merapati tebing. Itu yang dirasakan hati Suntong. Berkayuh ke tepian sungai tidak sepayah hati melihat kubu. Tiap kali berkayuh ke situ hatinya pedih diejek kemegahan Kubu Margherita. Kubu itu seperti berteriak ke arahnya, “Lihatlah aku akan kukuh melindung Brooke untuk memerintah 100 tahun lagi.”
Suntong terus berkayuh sambil memerhati letak alam di sekitar bagi melupakan sebentar kubu yang memanaskan hatinya. Di seberang sana bertentangan dengan kubu, ada pejabat Syarikat Borneo dan deretan kedai Cina yang membentuk sebuah kota. Suntong tahu di atas Bukit Mata Kucing ada banglo-banglo mewah kerana dia pernah ke situ. Persekitaran Sungai Sarawak masih lagi indah alamnya dengan tebatan pokok-pokok besar. Dari jauh kelihatan Tugu Charles Brooke. Di tebing sungai sebelah sana sebuah stor menyimpan minyak kepunyaan Syarikat Borneo agam berdiri. Di sebelah kubu putih, letak Astana kediaman Raja Putih.
Suntong memerhati pula pondok-pondok penduduk di tebing bersebelahan Astana. Sungguh daif. Perbezaan latar itu menyentuh hatinya.
Namun Suntong dibayangi peringatan Datu Bujang agar jangan bertindak terburu-buru. Kadang-kadang Suntong menganggap nasihat itu satu halangan. Halangan yang cuba dibuat agar golongan belia bangsa seperti dia tidak bangun memberontak. Suntong kerap berfikir tentang halangan itu. Ada prejudis tumbuh dalam benaknya terhadap kepemimpinan orang tua seperti Datu Bujang.
Kepimpinannya
Bagi Suntong Datu Bujang laksana kerbau dicucuk hidung. Umpama kayu lempung, belum ditolak condong sendiri. Kepemimpinannya hanya menghambat anak muda daripada memberontak. Pemimpin yang takut kehilangan kuasa jika anak buah memberontak. Aku fikir itu tujuan Raja Brooke membawa orang seperti Datu Bujang dalam pentadbiran, agar tiada pemberontakan. Hati Suntong merungut lagi. Warna-warna hitam melekat di hati.
Suntong menyelak lipatan sejarah dalam kepala tatkala tangan kekarnya masih berkayuh mencari tempat menebar jala. Dia ingat orang Melayu pernah memberontak pada akhir tahun 1830-an terhadap pemerintahan orang Melayu Brunei. Datu Patinggi Ali berjaya meniup semangat juang orang Melayu agar bangkit daripada penindasan. Kota Kuching akhirnya bebas dan Pangeran Indera Mahkota balik ke Brunei. Bebas hanya beberapa ketika sahaja. Datang Pangeran Raja Muda Hasyim mengambil jalan mudah menentang pemberontakan dengan mengundang bantuan asing. Orang Melayu hidup di bawah telunjuk askar pencen yang dilantik menjadi raja.
“Aku bukan melarang atau menahan kau daripada menentang Raja Brooke. Tapi aku mahu tindakan kita tidak berbuah kecewa. Ramai yang akan mati dan hidup kita semakin hina.” Suntong ingat kata-kata Datu Bujang yang seperti membela diri.
“Setiap perjuangan memang perlukan pengorbanan. Kita perlu mencuba sebelum berfikir tentang kegagalan.” Suntong pula menyanggah pendapat bapa saudaranya.
“Suntong, aku tahu kau berdarah pejuang. Dalam diri aku pun mengalir darah yang sama. Kita tunggu masa mengatur langkah pertama. Jangan terburu-buru. Langkah pertama lebih bermakna jika sudah cukup bekalan di dada dan di tangan.” Kata-kata Datu Bujang membunuh prejudis Suntong walaupun bukan semuanya padam.
“Khabar dari Astana Perlembagaan Sarawak untuk anak Sarawak. Sarawak akan diperintah rakyat Sarawak. Majlis Negeri diberi kuasa memerintah. Perlembagaan ini ke arah memerdekakan Sarawak. Jika benar, mudah kerja kita tanpa menggunakan kekerasan.” Datu Bujang mengkhabarkan hasrat Raja Charles Vyner Brooke ketika perayaan 100 tahun memerintah Sarawak. Khabar itu masih lagi panas dan menjadi buah mulut sesiapa yang mengerti.
Kuasa asing
“Adakah Datu mudah mempercayai kuasa asing? Sekadar janji manis mengumpul sokongan orang seperti Datu.” Suntong menggoyah keyakinan Datu Bujang yang bergayut pada janji Raja Muda. Hati Datu Bujang terhiris oleh sembilu lidah Suntong. Dia cuba digolongkan anak saudaranya dalam kelompok orang yang mudah menelan janji. Dia bersabar. Perasaan berang disimpan kemas dalam hati, apa lagi terhadap anak saudara harapannya. ‘Kata-kata Suntong ada benar’ pada fikirannya. Janji Charles Vyner Brooke ketika hari ulang tahun ke-100 pemerintahan keluarga askar pencen itu, mungkin tersembunyi cita-cita ingin memerintah 100 tahun lagi.
Suntong tidak percaya janji Brooke. Mahukah dia merdekakan Sarawak yang banyak mengandung untung. Bau sudah melahirkan emas dan antimoni untuk Brooke. Perut Miri pula sarat dengan minyak. Agak susah untuk Suntong percaya janji Charles Vyner Brooke mahu melepaskan semua kekayaan itu. Tidak semudah itu dia melepaskan Sarawak kembali dipimpin orang Melayu.
“Kita tunggu dulu. Jika kita ditipu juga, maka aku akan bersama kamu. Kita ganyang mereka!" suara Datu Bujang perlahan tetapi tegas. Kata-kata itu menjadi pegangan Suntong untuk menagih janji satu masa nanti.
Suntong menutup lembaran sejarah dan kisah silam dalam kepalanya apabila perahu hampir ke tebing batu. Dia terasa hembusan angin di situ sungguh sejuk dan mendamaikan jiwanya yang resah menahan ledakan darah pejuang. Tebing batu berlumut dan pokok-pokok besar megah berdiri. Suasana menyenangkan hatinya. Di permukaan air arus sungai tidak lagi meluncur laju. Di situ airnya tenang.
Suntong menebarkan jala. Dia masih leka. Rezeki Tuhan diambil tetapi pemberi rezeki dilupakan. Dia memang lupa. Jala menerkam rezeki yang ada di dalam sungai. Terasa berat jala diangkat ketika dibawa ke perut perahu. Lipatan jala mula dibuka dan diangkat batu-batu pemberat. Ikan dan udang melompat-lompat.
Benarkah Sarawak akan merdeka dengan mudah? Orang Melayu akan memerintah kembali bumi di lembah Sungai Sarawak? Tiba-tiba pertanyaan itu menerjah lagi dalam kotak fikiran tatkala dia membongkok mengutip udang bersepit biru dan ikan yang menari di dasar perahu. Ketika menoleh ke pangkalan penambang, baru dia sedar hari itu ialah penghulu segala hari tatkala retina matanya melihat beberapa orang berkain pelekat, berbaju Melayu dan bersongkok hitam berdiri di tepi pangkalan menunggu perahu untuk ditumpang ke seberang. Dia teringat kalendar di rumah Datu Bujang, semalam kalendar itu berangka Khamis, 18 Disember 1941. Dia bergegas hendak berkayuh balik ke rumah di Kampung Boyan.
Dentuman
Tiba-tiba dia terdengar bunyi dentuman yang amat kuat. Tidak pernah didengar bunyi dentum sekuat itu. Dentuman menggegar bumi berturut-turut disertai bunyi belon yang berdengung di atas langit. Dia mendongak. Beberapa buah belon terbang rendah dan melepaskan bom, berdentum menyentuh bumi. Bumi terbakar dan bangunan musnah. Deretan kedai bertukar jadi sarang api. Bunyi teriak orang di pasar seberang kedengaran seperti tangisan dari neraka. Banyak nyawa melayang pergi meninggalkan jasad. Bunyi dentuman kedengaran bertalu-talu. Sempat juga Suntong menaruh harapan pada bom-bom itu agar meruntuhkan Fort Margherita. Suntong lupa dia dalam bahaya. Dia masih di permukaan air. Tiba-tiba sebutir bom jatuh di tengah sungai bertentangan dengan kubu putih. Air sungai berkocak kuat seperti ada buaya besar menyerang mangsa. Suntong sekuat kudrat mengawal perahu. Tarian perahu akhirnya berhenti kerana tangan kekar Suntong mahir mengemudi. Suntong melompat naik ke tebing.
Dari tebing batu itu Suntong berdiri menyaksikan perubahan pada kota Kuching. Dia melihat sebuah stor minyak Syarikat Borneo di tebing sungai menjadi gunung api. Kebakaran amat dahsyat. Api dengan lahap menjilat minyak. Kepulan asap tebal menjulang ke awan. Cahaya terang pada tengah hari Jumaat yang panas itu bertukar malap hingga ke petang. Suntong kecewa kerana bom yang hampir mengenainya hanya bernoktah di situ.
“Brooke lemah. Jepun yang menggugurkan 24 biji bom dari Simpang Tiga hingga ke tengah sungai tidak mampu ditentang. Kita guna senjata Jepun ini jahanamkan Brooke.” Suntong membelek-belek senapang dan bom tangan hasil rampasan. Suntong terbayang kecekapan kawan-kawan dalam serang hendap di Matang. Beberapa kepala Jepun berjaya dipancung. Terbayang juga pancutan darah hanyir Jepun mengenai bajunya.
“Kita serang dari sungai. Aku sudah beberapa kali menjala di situ. Aku sudah tahu benar keadaan di situ. Aku pasti kita berjaya mendaki tebing tinggi hingga ke kubu. Kita bergerak malam ini.” Suntong memerhati bebola mata tujuh orang rakan pejuang bergilir-gilir. Suntong yakin dia dan rakan-rakan akan berjaya sekali lagi. Lapan orang pejuang bekas Renjer Sarawak itu cekap dan gagah. Selepas pembubaran Renjer Sarawak pejuang itu memenuhi dada dengan ilmu persilatan.
Pada malam penentuan itu, kecekapan, pengalaman dan ilmu telah menjayakan pejuang-pejuang mendaki tebing curam berlumut secara senyap. Belukar dan siratan akar-akar kayu dirempuh dengan mudah. Suntong dan rakan-rakan bersiap sedia dengan rifel dan machine gun. Muncung dihala ke arah pengawal yang mundar-mandir di atas benteng panjang di sebelah kiri kubu.
Dengan isyarat tangan Suntong memberi arahan untuk menembak. Gema tembakan bagaikan bertih digoreng tepat mengenai sasaran. Pengawal di atas kubu jatuh satu persatu. Kemudian naik beberapa orang lagi ke atas benteng. Tembakan berbalas dari Fort Margherita. Suntong melontar pula bom tangan sekuat hati. Bom jatuh di dinding dan menggegar kubu. Tembakan dari arah kubu semakin rancak dituruti dentuman bom. Suntong semakin bersemangat dan geramnya menggila untuk memusnahkan kubu. Dia berlari sambil menembak dan berguling-guling berlindung di tanah tinggi-rendah. Dengan semangat dan keberanian di tahap puncak dia menghampiri kubu dan melontarkan bom tangan sekuat tenaga. Sasaran tepat, bom melambung tinggi dan menjunam di tengah kubu. Hati Suntong puas melepas geram. Dia berundur menghampiri rakan di tebing sungai. Dia tahu pasukannya kurang peluru. Bom tangan pun sudah habis.
Tiba-tiba tembakan datang dari arah kanan kubu. Tembakan itu disasarkan ke arah kubu. Tembak menembak saling berbalas.
“Ayuh kita berundur menuruni tebing curam. Itu tentera Maeda. Biar pemusnah memusnahkan perosak.” Suntong bergerak ke arah tebing tinggi dan turun ke sungai dituruti rakan-rakan tanpa cedera.
Tatkala tentera Maeda mengambil alih Kuching dengan rasmi pada pukul lima petang hari yang malang itu, ketua tentera masih dihantui kisah semalam. “Siapa penyerang yang menodai Margherita sebelum Maeda?"
l Glosari;
Belon (Bahasa Melayu Sarawak) ialah kapal terbang.
ARKIB : 23/08/2009
Tauhid, wilayah sebenar sastera
Oleh FAISAL TEHRANI
SAYA berpendapat kita memerlukan sebuah persuratan yang menyediakan solusi untuk setiap masalah ummah dengan jalan supra mazhab. Saya perhatikan mutakhir ini karya sastera Islam kita telah menjadi kaku beku di dalam zon selesa.
Pengarang hanya memuatkan beberapa pandangan ulama, ayat Quran atau hadis dan ungkapan-ungkapan keislaman untuk menjadikan karyanya sastera Islam.
Ini lebih-lebih lagi dapat dilihat menerusi karya generasi baharu yang cenderung bersifat 'pop-keislaman'. Hanya terdapat seorang dua pengarang muda yang 'bekerja keras sedikit', dengan memuatkan wacana ilmu supaya karya sastera Islam tersebut mempunyai nilai tambah.
Perkara ini pernah disinggung satu masa dahulu oleh filsuf Algeria terkenal, Malek Ben Nabi, yang mengatakan setelah mengenal pasti masalah, umat Islam mesti menyediakan satu sikap sosial (solusi), dan bukan sekadar mengeluh dan mengulang membicarakan tentang masalah tersebut tanpa henti. Justeru, untuk kepentingan ummah secara menyeluruh; maka Islam dan umat yang dimaksudkan dalam kerangka sastera Islam tidak harus terhad kepada kelompok tertentu sahaja. Ini bererti kita tidak harus menulis untuk memberi penawar kepada umat Islam di Malaysia semata-mata. Kita perlu menulis untuk umat Islam secara global.
Sayyid Hossein Nasr dalam Ideals and realities of Islam (1967) menekankan Islam adalah sebuah agama yang pluralistik dengan kepelbagaian tradisi.
Dengan menggaul pelbagai tradisi Islam dari setiap penjuru dunia, ummah dapat saling meminjam kekuatan dan kelebihan satu sama lain. Ini bersesuaian dengan seruan Taha Jabir Fayyad al-Alwani dalam The Ethics of Disagreement in Islam (1997). Beliau menyebut, "If differences of opinion operate in a healthy framework they could enrich the Muslim mind and stimulate intellectual development".
Di sinilah pula datangnya peranan disiplin sastera bandingan yang dapat memugar persamaan dan perbezaan sastera Islam dari pelbagai rantau umat Islam. Sarjana sastera bandingan kita sudah perlu melangkah membandingkan wacana dan produk sastera Islam dari wilayah lain. Perbandingan yang bersungguh-sungguh akan membolehkan kita umat Islam membentuk satu jati diri persuratan yang bermodelkan kepimpinan Islam yang benar dengan pendekatan 'supra mazhab'.
Gesaan melakukan kajian bandingan antara sastera Islam bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah dianjur oleh Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam esei beliau Kesusasteraan Bandingan dan Situasi Malaysia: Beberapa Pengamatan Awal Dalam Kesusasteraan Bandingan Sebagai Satu Disiplin (1994). Beliau menyatakan khazanah sastera berunsur Islam mempunyai satu kesatuan iaitu Islam untuk dibandingkan. Sarjana ini malah meramalkan suatu yang 'menarik' sekiranya kajian dalam bentuk bandingan dilakukan.
Sastera Melayu Islam misalnya dapat meminjam kekuatan sastera Islam rantau Indo Pakistan yang kuat tradisi sufismenya. Kita di Nusantara juga dapat menekuni dan meminjam apa yang baik dari sastera Islam Parsi dengan kekuatan falsafah pada tradisi sastera Islam syiahnya. Belum ada pula perbandingan yang bermakna untuk meminjam tradisi sastera Islam dari Afrika yang kukuh dengan pengaruh tarekat Sanusiyyah dan jihad yang panjang menentang kolonialisme Perancis dan Itali. Dengan membandingkan wacana dan pemikiran (yang terbenam dalam karya sastera Islam pelbagai tradisi) satu kesatuan ummah juga dapat digerakkan.
Menurut seorang ulama sunnah wal jamaah yang terkenal, Dr. Abdul al-Majid al-Najjar dalam buku yang diterjemahkan dengan judul Kebebasan Berpendapat dan Penyatuan Pemikiran Ummat (1997): "Kesatuan dan keharmonian model perpaduan untuk meraikan kepelbagaian ummah ialah dengan menggunakan akal (intelektual) berasaskan tauhid yang mutlak demi akidah Islam".
Penggunaan formula supra mazhab dalam karya sastera Islam (juga dalam disiplin sastera bandingan) kita dengan itu dapat menjadi satu dakwah bil hal atau gerakan mengajak kebajikan berdasarkan ayat 10 surah al-Hujurat: "Orang-orang mukmin itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." Berdasarkan ayat al-Quran ini, kita malah dapat mengacukan sebuah model persaudaraan dalam sastera sastera Islam, dengan menggunakan paduan dua kaedah usul fikah iaitu sadd al-dhara'ei (menutup pintu bahaya) dan al-akhdhu bi al-Ahwat (mengambil yang lebih berhati-hati). Paduan dua kaedah ini akan membolehkan kita membataskan peminjaman tradisi sastera dan naratif (contohnya dari Barat) yang sama sekali tidak berkenaan dengan kita.
Sudah tiba masanya kita menonjolkan kekuatan kita sebagai pemimpin dalam menawarkan pelbagai kaedah penyelesaian untuk masalah ummah. Ini kerana umat Melayu-Islam adalah umat yang telah menunjukkan toleransi, kreativiti dan kebijaksanaan dalam pelbagai disiplin. Usahlah kita membunuh 'potensi' yang sedia ada ini. Sebaliknya kerencaman umat Islam harus digali, ditekuni, dipugar dan diadaptasi kembali menjadi satu kekuatan baharu.
Ini saya tanggapi sejajar dengan dua pandangan sarjana terkemuka kita. Pandangan dua tokoh berikut telah saya tekankan dalam prakata novel saya Tuhan Manusia. Yang pertama saya petik dari makalah al-marhum ustaz Yusoff Zaki Yacob "Masalah Pengasingan Sasterawan Melayu dari Intelektualisme Islam" yang beliau kemukakan pada tahun 1973 dalam Simposium Sastera dan Agama. Seterusnya esei Tumbuh Tiada Berbuah tulisan al-marhum Profesor Dr Syed Hussein al Attas untuk Hari Sastera 1978 di Kuala Trengganu.
pembangunan
Ustaz Yusoff Zaki menulis: "Kini, di saat kita mengkehendaki satu bentuk pemikiran Islam yang dinamis, sesuai untuk menjiwai pembangunan kita, maka undang-undang yang cuba menahan perkembangan pemikiran Islam dalam tembok-tembok mazhab yang sempit itu perlu dihapuskan. Masanya telah tiba untuk kita memulakan perkembangan pemikiran Islamiah yang tidak tertakluk kepada satu mazhab, kerana persoalan-persoalan yang timbul di zaman moden ini tidak mampu diatasi dengan pemikiran mazhab Syafie sahaja". Perhatikan ketegasan dan seruan beliau sekali lagi, "Masanya telah tiba untuk kita memulakan perkembangan pemikiran Islamiah yang tidak tertakluk kepada satu mazhab." Pandangan Allahyarham Yusoff Zaki yang banyak mencorakkan sastera Islam tanah air sejak tahun 70 an sejajar dengan pandangan al-marhum Profesor Dr Syed Hussein alAttas.
Profesor Syed Hussein menyebut: "Bagi para penulis dan penyair kita di Malaysia dan Asia Tenggara seluruhnya, apakah ertinya soal pembukaan kembali pintu ijtihad ini? Ertinya mereka harus menghidupkan semangat bebas berfikir, bebas dari belenggu feudalisme; dari belenggu faham-faham yang sudah usang; dari belenggu faham taklid yang negatif. Mereka mesti menghidupkan semangat ini hingga ada nanti yang terpengaruh dan tampil ke muka, di kalangan generasi yang akan datang, bagi mendirikan sistem-sistem pemikiran yang dapat menggerakkan jiwa masyarakat ke arah kemajuan dan keadilan. Sebagai penulis-penulis Islam mereka mesti mengetahui dasar-dasar agama Islam; mesti mengetahui tentang ilmu-ilmu zaman sekarang; mesti mengetahui tema-tema yang penting dan yang belum cukup diperhatikan; mesti pandai mengolah unsur-unsur Islam, ilmu pengetahuan, tema, jalan cerita dan keadaan sekeliling, dalam satu hidangan yang akan berhasil meninggikan darjat kesedaran, pemikiran dan perjuangan ke arah yang murni".
Sudah tiba masanya kita bergerak dari pertikaian apakah karya sastera harus memuatkan ilmu yang benar atau tidak, di sebalik cerita yang berhemah atau tidak. Kita harus bergerak dari perbincangan apakah kriteria untuk menilai Islam atau tidaknya sesuatu karya. Generasi baharu pengarang sastera Islam mesti mencabar diri masing-masing untuk membuka ketempurungan minda menerokai wilayah sastera Islam yang sebenarnya luas. Persuratan Islam yang kini lembab perlu disegarkan kembali dengan peranan asasnya iaitu hendak 'melangsaikan masalah ummah dengan menyarankan solusi dari pelbagai tradisi Islam'. Ini perlu supaya sastera Islam kita terus bergerak menuju walayat yang sebenar iaitu - tauhid. Dan inilah cabaran sastera Islam dekad-dekad mendatang.
RKIB : 23/08/2009
Dari fail Tribuhak
Oleh Ghazali Lateh
KES 1
Sekonyong-konyong Ahmad Debab telah ditangkap ketika makan roti canai di sebuah warong mamak dalam bulan puasa. Ketika itu Ahmad Debab tengah sedap membalun roti canai ketiganya.
“Siapa nama awak?” tanya pegawai Jabatan Agama yang menangkap Ahmad Debab.
“Nama saya Ahmad Debab,” jawab Ahmad Debab dengan yakin kerana itulah namanya. Cuma suaranya agak tersekat-sekat kerana ketika itu dia masih mengunyah roti canai banjir berkuah dal pekat. Dia tersengih-sengih seperti biasa kerana itulah tabiatnya.
“Sahlah awak orang Melayu!” kata pegawai itu lagi.
“Saya tak kata saya bukan Melayu. Mak bapak saya Melayu, datuk nenek saya juga Melayu!” Jawab Ahmad Debab penuh yakin juga. Bibirnya masih berminyak lantaran roti canai mamak yang rangup berkrim itu.
“Awak telah melanggar undang-undang!” kata pegawai yang satu lagi. Dia menjatuhkan hukuman laksana seorang hakim. Begitulah lazimnya, manusia memang gemar menjatuhkan hukuman sebelum benar-benar yang dihukum itu bersalah atau sebaliknya.
“Saya tak buat salah apa-apa pun!" kata Ahmad Debab lagi sambil sempat menghirup teh tarik berbuih hingga ke titisan yang terakhir.
“Awak makan dan minum dalam bulan puasa awak kata tak salah?!” kata pegawai Jabatan Agama yang menjalankan tugas itu. Suaranya tinggi menggambarkan kemarahannya. Sesekali dia menelan air liur memandang ke arah kuah roti canai yang pekat berlinang.
“Bukankah makan minum ini hak asasi manusia. Setiap makhluk yang hidup memerlukan makanan. Kalau saya tak mahu puasa, itu hak asasi saya,” Ahmad Debab mempertikaikan dakwaan pegawai-
pegawai yang datang secara mengejut sehingga dia tidak sempat melarikan diri. Beberapa orang kawannya yang sama-sama melantak roti canai bersamanya tadi entah ke mana. Memandangkan bentuk badan Ahmad Debab yang sedemikian rupa saiznya, dia tidak sempat berbuat apa-apa dalam keadaan kelam-kabut itu. Jika dia melarikan diri pun dia tidak yakin dapat lepas.
“Ohh... hak asasi kata awak? Kalau begitu pergilah buat aduan kepada Tribuhak,” kata-kata pegawai itu seolah-olah mencabar pula bunyinya. Barangkali mereka mengerti di kota ini sudah ada tribunal hak asasi manusia yang diakronimkan menjadi Tribuhak. Berkali-kali sudah tribuhak menyanggah keputusan undang-undang kerana melanggar hak asasi manusia. Perkara hak asasi tidak boleh dibuat main-main. Tribuhak akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan hak asasi sesiapa sahaja, waima pencuri, perompak, perasuah, lanun, gangster, along, penyeleweng, samseng, pengkhianat negara, malaun, dan sesiapa sahaja yang layak dipanggil manusia.
“Okey! Saya akan laporkan perkara ini kepada Tribuhak! Saya yakin Tribuhak saja yang tahu akan hak asasi manusia. Orang lain semuanya tak tahu!” Ahmad Debab merengus melepaskan perasaan marahnya. Dia berasa sangat terbela nasibnya setelah mendengar nama Tribuhak itu. Dia tidak akan diapa-apakan selagi ada Tribuhak. Dia akan selamat.
Kes 2
Sekonyong-konyong Cikgu Majid balik dari kelas sambil menutup mukanya. Perbuatannya itu nyata membangkitkan persoalan dalam kalangan rakan-rakan. Akhirnya, pecah cerita yang mengatakan Cikgu Majid ditumbuk oleh seorang pelajar tingkatan lima. Pelajar tersebut, Fazli, telah mengambil tindakan membelasah gurunya kerana dimarahi akibat tidak menyiapkan kerja rumah.
Maka pengetua pun memanggil Fazli. Beliau menyoal siasat pelajar kelas 5G itu untuk mendapat gambaran sebenarnya tentang kisah muka Cikgu Majid yang lebam kemerah-merahan. Dengan rasa bangga Fazli mengaku dialah yang menumbuk Cikgu Majid. Tubuh badannya yang gempal dan sasa itu memang sesuai dengan sikap panas barannya.
Mahu tidak mahu, pengetua terus membuat keputusan. Besoknya, di hadapan perhimpunan pagi sekolah tersebut, pengetua merotan Fazli dua kali. Peristiwa itu disaksikan oleh pelajar-pelajar lain dan guru-guru.
Berita hukuman rotan yang dikenakan terhadap Fazli sampai ke pengetahuan bapanya. Apa lagi, melentinglah orang tua itu. Terus sahaja dia terlintas untuk menghubungi Tribuhak.
Apabila kes itu dirujuk kepada pihak Tribuhak, tribunal itu mendapati hukuman terhadap Fazli menyalahi hak asasi manusia. Maka pengetua telah dianggap melanggar hak asasi kerana mengikut pendapat Tribuhak, walaupun pelajar melakukan kesalahan, mereka tidak boleh dirotan kerana perbuatan itu melanggar hak asasi seorang pelajar. Akhirnya tribunal membuat keputusan. Pengetua dan Cikgu Majid ditukarkan ke sekolah lain. Mereka didapati bersalah kerana melanggar hak asasi manusia. Begitulah besarnya kuasa Tribuhak dan hak asasi manusia itu sendiri. Sesiapapun kini tidak boleh mencabar hak asasi. Hak asasi adalah segala-galanya.
Kes 3
Seorang gadis Melayu yang comel berasal dari kampung datang ke kota untuk mencari pekerjaan sementelah di kampungnya kaum wanita semua sudah tidak bekerja lagi. Lebih-lebih lagi wanita cantik sepertinya. Selama ini dia hanya duduk menanti kalau-kalau ada orang datang meminangnya. Akan tetapi harapannya hanya tinggal harapan. Kawannya yang berhijrah ke kota beberapa tahun yang lalu pulang dengan segala kemewahan yang amat diidamkan oleh semua manusia.
Oleh sebab terlalu dikongkong di kampung tradisi yang rata-rata penduduknya berserah kepada takdir itu, si gadis berhasrat untuk ke kota mencari pengalaman hidup dan kesenangan yang tidak ada di kampungnya. Di bandar, si gadis bekerja di sebuah kilang. Rupa parasnya yang menawan menjadi intaian setiap jejaka. Hanya jejaka yang tidak waras sahaja tidak mahu menikmati kejelitaan wajah ciptaan Tuhan itu. Dan salah seorang jejaka itu ialah Johnny Walker, seorang berketurunan kacukan Asia-Eropah.
Jejaka beragama lain ini jatuh cinta dengan si gadis dan ingin menjadikannya sebagai isteri. Di pihak gadis itu pula sama menaruh hati terhadap jejaka berlainan agama itu. Dalam hatinya dia berkata bahawa semuanya itu telah ditakdirkan. Bukankah, selama ini dia disogokkan bahawa kemiskinan di kampungnya telah ditakdirkan. Manusia tidak boleh melawan takdir. Kini dia sedang berdepan dengan takdir dirinya.
Maka berlakulah kekalutan apabila upacara perkahwinan si gadis itu dijalankan di sebuah rumah ibadat agama lain. Si gadis terlalu percaya bahawa semuanya itu telah ditakdirkan. Dia tidak kisah. Yang menjadi kisah apabila bapanya membawa beberapa orang untuk merampasnya daripada suaminya yang sah di sisi undang-undang itu.
“Engkau telah murtad. Engkau perlu kembali ke pangkal jalan,” herdik bapanya menghukum anak gadisnya yang selama ini tidak pernah terdedah kepada anasir-anasir luar.
“Siapa kata saya murtad. Inilah takdir. Sebagai manusia saya tidak boleh melawan takdir,” jawab si wanita muda itu dengan tegas. Selama inipun dia diajar bertegas oleh orang-orang kampung.
“Tapi perkahwinan kamu ini tidak sah. Suami kamu bukan beragama Islam,” bapanya bertambah berang apabila lelaki bukan Islam yang menjadi menantunya datang untuk mempertahankan isterinya.
“Kami akan bawa perkara ini ke Tribuhak!” kata si suami kepada wanita Melayu dari kampung itu.
“Tribuhak tu apa? Besar sangat ke kuasa dia?” tanya si bapa dengan marah.
“Tribuhak itu ialah kependekan kepada Tribunal Hak Asasi Manusia. Setiap manusia akan mendapat pembelaan Tribuhak. Saya manusia, isteri saya manusia. Jadi kami berhak melaporkan perkara ini kepada Tribuhak,” jawab lelaki itu dengan berani. Dia berani kerana dia akan dibela. Tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi hak asasi manusia. Tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi Tribuhak.
Kes 4
Malam itu hujan lebat. Lokman sedang memandu keretanya untuk pulang ke kampung di Kilang Besar, di Kedah. Baru lima belas minit tadi dia meninggalkan rumahnya di sebuah taman perumahan di ibu kota.
“Mana telefon ayah?” tiba-tiba anaknya Boy bertanya. Anak yang berusia dalam usia sepuluh tahun itu kesunyian seorang diri dalam kereta. Di depan bapa dan emaknya tidak berbual apa-apa sepanjang perjalanan. Manusia moden hari ini tidak banyak berkomunikasi secara berdepan. Sehingga urusan nikah cerai juga sudah boleh dilaksanakan melakukan alat-alat komunikasi yang artifisial sifatnya.
“Jangan main game, nanti bateri habis,” pesan Lokman kepada Boy sambil menunjukkan telefon bimbit yang terletak di tempat menyimpan barang dalam keretanya.
“Hello!” tiba-tiba Boy bercakap melalui telefon.
“Boleh saya cakap dengan Encik Lokman?” Boy seolah-olah bercakap dengan seseorang di hujung talian. Lokman yang sedang memandu tidak ambil kisah. Anak-anak sekarang memang bijak berlakon.
“Encik Lokman tak ada di rumah,” itulah yang didengarnya. Suara seorang lelaki di hujung talian menjawab.
“Dia ke mana?” tanya Boy lagi.
“Dia balik kampung. Ada apa-apa pesanan?” tanya suara lelaki di hujung talian.
“Tak apalah,” kata Boy sambil mematikan telefonnya. Dia bersandar selamba.
“Ehhh... siapa yang telefon di rumah kita tadi?” tiba-tiba Boy bertanya kepada bapanya yang sedang memandu.
“Apa Boy cakap?!” tanya Lokman dengan penuh kehairanan.
“Tadi Boy telefon ke rumah kita. Ada orang yang angkat...!!”
Lokman memberhentikan kereta serta merta. Kepala isterinya terhantuk ke cermin depan. Selepas itu mereka berpandangan antara satu sama lain.
Tanpa bercakap, Lokman mencari tempat untuk membuat pusingan. Dia memecut keretanya untuk pulang segera. Siapa pula yang menjawab telefon sedang mereka anak beranak dalam perjalanan balik kampung? Dalam perjalanan Lokman menelefon kawannya seorang pegawai polis supaya datang ke rumahnya.
“Assalamualaikum...!” Lokman memberi salam di luar pintu pagar rumahnya.
“Waalaikumussalam...!” terkejut sekali Lokman apabila seorang lelaki menjawab salamnya. “Nak cari siapa?" tanya lelaki itu lagi.
“Lokman ada di rumah tak?” Lokman mendapat akal yang diilhamkan oleh anaknya Boy.
“Katanya dia balik kampung. Tadipun kawannya dah telefon,”
“Awak ni siapa?” tanya Lokman dengan muka selamba.
“Dah tuan rumah tak ada, saya datanglah ambil apa yang patut. Saya tak ambil banyak, cukup untuk dijual buat membeli makanan anak-anak,” jawab lelaki itu.
“Awak ini pencurilah ye?” ujar Lokman.
“Mencuri pun satu pekerjaan juga, hi.. hi.. hi,” gelak kecil lelaki itu seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku, sedangkan dia mencuri barang-barang berharga di rumah yang dimiliki oleh Lokman.
“Ini rumah saya..!!” tegas Lokman. Dia mula naik berang dengan sikap pencuri tersebut.
“Saya tak kata rumah ini rumah saya,” balas pencuri itu. Serentak dengan itu penumbuk Lokman hinggap di muka orang yang menceroboh rumahnya itu.
“Saya akan laporkan perkara ini ke pihak Tribuhak. Awak telah melanggar hak asasi manusia. Walaupun saya mencuri, perbuatan awak menumbuk saya menyalahi hak asasi manusia,” ujar si pencuri dengan lantang. Lokman terlopong mendengar kata-kata orang yang mengendong berbagai-bagai makanan dalam beg yang disandangnya. Lokman tahu barang-barang itu memang miliknya.
“Tribuhak!!!?” Tanya Lokman pantas dan terkajut.
“Ya, Tribunal Hak Asasi Manusia..” balas pencuri itu dengan penuh yakin.
“Apa yang Tribuhak boleh buat?” Tanya Lokman cemas.
“Tribuhak boleh buat apa-apa sahaja sekiranya hak asasi manusia dicabul,” jawab si pencuri dengan penuh bangga kerana dia tahu haknya akan tetap terbela walaupun dia mencuri.
Mendengar jawapan itu Lokman terdiam sejenak. Si pencuri berlalu pergi menghilangkan diri dalam malam yang semakin gelap.
Persidangan Lembaga Juri Tribuhak
Setelah semua kes dibacakan, maka juri-juri Tribuhak pun bersidanglah untuk menentukan keputusannya. Semua orang tertunggu-tunggu akan keputusan yang bakal dibuat walaupun sebenarnya keputusan itu sudah diketahui.
“Dalam kes 1, dengan Tribuhak telah memberikan kemenangan kepada Encik Ahmad Debab dengan keputusan 9-0. Kes 2 pula Tribuhak memberikan kemenangan kepada Fazli juga 9-0. Kes 3 pula Tribuhak memberikan kemenangan 9-0 kepada pihak gadis yang berkahwin dengan lelaki beragama lain. Kes 4 juga begitu keputusannya, si pencuri telah menang dengan keputusan 9-0. Tamat!”
Keputusan telah diumumkan. Rayuan tidak dibenarkan. Sanggahan juga tidak diperakukan. Kuasa Tribuhak memang hebat. Sesiapapun tidak boleh mencabar. Kini hak asasi sangat besar pengaruhnya. Remaja Palestin akan dihukum kerana melanggar hak asasi membaling batu terhadap tentera Israel yang membedil mereka dengan senapang. Rakyat kulit hitam Amerika turut dihukum kerana menunjukkan isyarat lucah kepada pasukan polis kulit putih yang menghentam mereka dengan cota besi. Rakyat Iraq akan dihapuskan kerana melanggar hak asasi mengebom penjajah tanah air mereka.
Komunis-komunis tua dijemput dan diraikan atas nama hak asasi. Pencemar lagu-lagu patriotik disanjung atas nama hak asasi. Pengkhianat-pengkhianat negara diberikan layan kelas pertama atas nama hak asasi. Dan juri-juri Tribuhak juga bebas melakukan apa-apa sahaja atas nama hak asasi.
Kemenangan hak asasi kini diraikan. Pihak yang menang atas ihsan hak asasi melompat-lompat dan terkinja-kinja. Para juri Tribuhak turut menari sambil membogelkan diri di depan khalayak hak asasi. Tidak ada apa-apa lagi yang akan salah dan kalah kerana semua berlandaskan hak asasi.
ARKIB : 30/08/2009
Muqabalah
KUNJUNGAN sehari sebelum perayaan hari kemerdekaan ke atas seorang pemimpin umur lama yang cukup marah bila dikatakan tua bagi tujuan persemukaan terhadap suatu isu yang mengelirukan pendukung dan penyokong parti agak tegang tetapi masih dalam rangka dan kerangka perdebatan secara sihat.
Ada peluh yang memercik di dahi pendebat dalam perdebatan lima lawan satu yang diadakan dalam bilik berhawa dingin yang mensalji dan pemimpin umur lama terpaksa pakai baju tiga lapis untuk menahan sejuk.
Pemimpin umur lama itu tersengih sinis kerana manggak dan riak.
Hidungnya kembang kempis.
Macam mana dia tak rasa manggak dan riak, gara-gara mahu mendapatkan persetujuannya, lima kepala, empat daripadanya kepala anak muda yang lahir selepas merdeka, terpaksa digunakan bagi memberi hujah dan mematahkan hujahnya.
Baginya kalau dia tidak hebat, kalau dia bukan intan terpilih pada abad ini, takkanlah sampai lima orang datang untuk memberi hujah dan membalas hujahnya, empat daripadanya adalah berkelulusan Ph.D dalam bidang sains politik dengan empat daripadanya membiarkan kepala botak tanda bijak masing-masing terdedah.
Kerana itu dia akan mengeksploitasi dan memanipulasi kehebatannya supaya dalam apa-apa maksud dan tujuan sebagai rangka dan kerangka jangka pendek dan juga jangka panjang parti yang didukung dan disokongnya, dia akan pastikan dia tidak akan dikesampingkan.
Sama ada soal kerajaan perpaduan mahu pun apa juga isu, dia akan pastikan buah fikiran dan pandangannya diambil kira, termasuk dalam soal yang berkaitan dengan perayaan hari kemerdekaan negara.
Malah dalam apa keadaan sekali pun dia akan pastikan dia akan dirujuk.
"Tujuan muzakarah…."
"Kalau muzakarah ana tak setuju" pintasnya sebelum ketua pengunjung sempat membuat penjelasan tujuan dia dan rombongan membuat kunjungan hormat.
Ketua pengunjung tergamam.
"Enta faham ke tidak apa itu muzakarah?" soalnya.
Ketua pengunjung menggelabah.
Diraba serban di kepalanya yang ekornya mencecah punggung. Lilitan serban itu melindungi bubus hampir-hampir botaknya. Kemudian ketua pengunjung merawa dan memintal-mintal janggutnya yang mencecah dada dan ada sedikit bau jebat. Dia merasakan pemimpin umur lama cuba memperlekeh dan mengaibkannya bila ditanya sama ada dia faham atau tidak apa itu muzakarah, soalan yang sepatutnya hanya diaju kepada budak sekolah.
Walaupun dia memiliki ijazah sarjana muda kelas dua bawah dalam bidang Usuludin, namun dia adalah lepasan sebuah universiti terkemuka di Timur Tengah, malah dia seuniversiti dengan pemimpin umur lama.
"Sebelum nak buat sesuatu, kena faham, kena reti dengan apa yang nak dibuat" bebel pemimpin umur lama. Muka dan nada suaranya serius.
Mulut ketua pengunjung terkunci oleh rasa terkedu hati dan terkoyak rabak perasaan oleh sindir sinis pemimpin umur lama.
Empat lagi anggota pengunjung saling berpandangan dan saling bercebih-tonye sesama sendiri. Ada pantulan cahaya lampu pada kepala botak masing-masing.
"Kita ni orang politik, pemimpin parti politik. Lawan kita juga orang politik dan pemimpin parti politik. Main politik ni kena cerdik" khutbah pemimpin umur lama.
"Jangan pula apa yang kita buat umpama kita memberi senapang kepada lawan untuk nantinya kepala kita yang bersepai kena tembak oleh senapang kita sendiri yang kita hulur pada lawan" syarah pemimpin umur lama.
Ketua pengunjung terkebil-kebil.
"Kalau kita menghunus keris, kena pastikan kita yang pegang ulu dan matanya kena terhunus ke arah lawan, bukannya kita hulurkan keris untuk lawan pegang ulunya dan matanya pula dihunus kepada kita. Kalau macam tu jadinya bermakna kita tidak cerdik bermain politik"
"Yang cerdik bermain politiknya macam mana?" soal seorang anggota pengunjung yang paling muda. Dia memberanikan diri membuka mulut apabila mendapati mulut ketua pengunjung yang cukup rapuh dan celupar ketika di pentas ceramah dan pada rapat-rapat umum terus terkunci berdepan dengan khutbah, hujah dan syarahan pemimpin umur lama yang serba selamba.
"Semolek-moleknya biar lawan yang hulur senapangnya kepada kita, biar lawan yang hulur keris dan kita pegang ulunya dengan mata dihunus ke arah lawan" balas pemimpin lama.
"Bukan mudah"
"Memang bukan mudah. Politik bukan satu permainan yang mudah. Bukan semua orang boleh bermain politik, apatah lagi untuk memimpin sesebuah parti politik yang mana pemimpinnya kena sentiasa lebih cerdik dari pimpinan parti lawan, malah dengan sesama pimpinan dalam parti sendiri"
Giliran anggota paling muda pula terkunci mulutnya dan terkebil-kebil oleh penangan hujah pemimpin umur lama.
"Kalau tak cerdik jangan dok ogeh nak jadi pemimpin. Lebih molek kalau pilih saja jadi penyokong"
"Jadinya?" ketua pengunjung membuka mulut setelah agak lama mulutnya terkunci. Dari mulut ada sedikit bau lembu punya taik kerana berkuan disebabkan agak lama tak buka mulut.
"Jangan muzakarah. Kalau tidak parti kita akan punah"
"Kenapa pula parti kita akan punah?"
"Muzakarah memerlukan kekuatan hujah dan penggulungan hujah serta keputusan atau rumusan"
"Ana setuju"
"Apa hujah yang kita ada untuk nantinya dari segi moralnya kemenangan akan berpihak kepada kita?"
"Itu yang ana berlima datang ni, nak dapatkan hujah-hujah enta untuk digunakan dalam muzakarah nanti"
"Apa tujuan enta mau bermuzakarah dengan pihak lawan?"
"Untuk perpaduan ummah, demi masa depan agama, bangsa dan negara. Setelah usia kemerdekaan mencecah lima puluh dua tahun, kita kena lebih profesional dan rasional dalam berpolitik, dalam bercanggah pendapat, ketidakseragaman pandangan dan juga pendekatan dalam berparti politik dan berpolitik".
"Maknanya dalam muzakarah itu nanti wakil parti kita yang dipilih untuk bermuzakarah mesti kena ada pelan, rangka dan kerangka perpaduan ummah"
"Ha ah"
"Apakah enta yakin antara kita sesama kita, antara kita dengan parti-parti pakatan kita sudah benar-benar berpadu?"
"Enta rasa?"
"Ana rasa kita tidak benar-benar bersepadu lagi. Muzakarah yang dicadangkan boleh mengundang pecah belah dalam pakatan kita jika kita kekal dalam keadaan sekarang"
Ketua pengunjung terkunci mulut lagi. Entah apa bau yang akan terhambur keluar bila dibuka mulutnya nanti, sukar untuk dipastikan. Dia adalah antara orang yang tidak akan berselera kalau makan nasi tanpa ulang petai, jering, kerdas atau paling komen pun kena berulamkan bawang putih dan bawang merah.
"Kalau sesama kita dan antara parti dengan parti sepakatan kita tidak benar-benar sepadu, macam mana boleh kita muzakarahkan tentang perpaduan ummah dengan parti lawan kita"
Ketua pengunjung tidak menyahut.
"Kerana itu ana tidak bersetuju muzakarah diadakan"
"Dulu enta juga yang beriya-iya mahu bermuzakarah dengan lawan kita" ketua pengunjung kembali bersuara.
"Itu dulu, ketika lawan tidak bersedia untuk bermuzakarah. Bila ana mau bermuzakarah sedangkan lawan tak mau, kemenangan moral akan berpihak kepada kita. Kerana itu ana kata nak bermain politik kena cerdik"
"Ana dan rakan-rakan rintis jalan ke arah diadakan muzakarah berpandukan kepada al-Quran dan hadis kerana itulah yang enta mahukan"
"Ketika ini muzakarah tidak sesuai, tidak banyak keuntungan politik yang parti kita dapat"
"Enta utamakan keuntungan politik dari kepentingan ummah?"
"Politik periuk nasi kita"
"Apakah kerana periuk nasi, kita kena kesampingkan kepentingan ummah?"
Pemimpin umur lama tidak menyahut.
"Lagi pun bukankah bila kita bertelagah sesama kita, sesama sefahaman agama, kita diminta menyelesaikannya melalui musyawarah?"
Pemimpin umur lama tetap tidak menyahut.
"Kalau kita membatalkan muzakarah, reputasi dan hemah parti kita akan tercalar. Dulu enta sebagai tokoh yang dianggap serba betul yang mahu bermuzakarah dengan parti lawan. Sekarang bila parti lawan sanggup bermuzakarah, enta tentang pula"
"Ana boleh bersetuju tetapi dengan syarat…"
"Apa pula syaratnya"
"Namanya ditukar"
"Maksud enta?"
"Jangan namakan muzakarah"
"Habis nak namakan apa?"
"Muqabalah"
"Muqabalah?"
"Ha ah. Muqabalah atau bersemuka yang tidak perlu ditamatkan dengan kesimpulan, rumusan dan resolusi. Muqabalah lebih bersifat santai"
Ketua pengunjung terkelu.
"Bagi ana muzakarah pun boleh muqabalah pun boleh. Yang tak bolehnya 'muka balah' kerana yang mahu diusahakan adalah penyatuan ummah, membendung sikap berpuak-puak, pecah belah, cebih-tonye, tunjuk siku balik dan tonggeng punggung sesama sendiri, sesama sebangsa, sesama seagama dan sesama sewarga negara" ngomel anggota pengunjung paling muda.
Sebenarnya dia cuak dengan sikap pemimpin umur lama yang mahu dianggap dia serba betul dan serba unggul belaka sehinggakan nama muzakarah yang telah dipersetujukan mahu ditukar dengan muqabalah walhal jisimnya sama seperti minyak petrol dipanggil minyak bensin sahaja.
Baginya pemimpin umur lama lebih utamakan populariti dan ketokohannya yang bersifat kepentingan peribadi melebihi kepentingan ummah yang sedang berkucah dan berkuca-wokyoh.
Demi kepentingan politik kepartian dan demi mempertahankan ketokohannya yang dilihat serba hebat, pemimpin umur lama boleh tidak bersetuju dengan cadangan muzakarah sedangkan ia adalah antara tatacara dan pendekatan yang amat digalakkan dalam Islam bila timbul sesuatu pertelingkahan.
"Ana anggap antara kami sebagai pengunjung dengan enta yang dikunjungi kini sedang bermuqabalah. Oleh itu bila ana beri pandangan, jangan pula enta marah"
"Pandangan apanya?" soal pemimpin umur lama dengan suara agak tinggi.
Dalam suaranya ada nada marah kerana jarang pendapat dan fatwanya disanggah.
"Bagi ana ketidakbersetujuan enta dengan muzakarah yang diatur oleh parti, lebih bersifat ingkar terhadap keputusan parti"
Ketua pengunjung cuba memberi isyarat supaya anggota pengunjung paling muda tidak cuba mengundang marah seranah pemimpin umur lama yang dianggap keramat dan bermukut masin oleh pendukung dan penyokong parti.
"Enta kena ingat parti kita bukan hak peribadi. Enta tak patut menentang apa yang telah diputuskan oleh parti dengan persetujuan majlis syura dan dewan ulamak dengan penentangan itu pula dihebah di media cetak dan elektronik" tokok pengunjung paling muda tanpa menghiraukan isyarat ketua pengunjung.
"Suara seorang tokoh tidak patut menjadi veto bagi menolak suara ramai" tingkah seorang lagi pengunjung, menyokong pandangan pengunjung paling muda.
"Betul" sokong seorang lagi anggota pengunjung.
"Zaman dah berubah. Cara kita berpolitik dan cara kita berfikir juga kena berubah" ngomel anggota pengunjung paling muda.
"Sama ada namanya muzakarah atau muqabalah, apa yang telah diputuskan oleh parti kena diteruskan. Kita kena bersihkan parti dari wabak veto seorang tokoh yang dianggap hebat dan merasakannya hebat menyebabkan keperluan parti mengikut keperluan dan peredaran zaman terencat. Tokoh yang kita anggap hebat dan dia merasakan dirinya hebat pun kerana kita sebagai pendukung dan penyokong parti yang melabelkannya hebat" tokok anggota pengunjung paling muda.
"Walhal dari segi sumbangan buah fikiran dan penyediaan rangka dan kerangka bagi kepentingan parti untuk jangka panjang khususnya, apatah lagi yang berkaitan dengan kepentingan agama, bangsa dan negara, belum tentu dia lebih hebat dari suara majoriti dalam parti" tokok pengunjung paling muda lagi.
Ketua pengunjung tunduk menguku.
Pemimpin umur lama menggelabah tetapi tidak boleh marah kerana pemimpin muda yang memberi hujah telah menegaskan bahawa dia bersama anggota pengunjung sedang bermuqabalah dengannya sebagai tokoh yang dikunjungi
Dia sebagai pemimpin umur lama sedang terkepung dalam muqabalah yang dicadangkannya sendiri bagi menggantikan muzakarah. Jauh di sudut hatinya dia mula memperakukan kesakanan ilmu anak-anak yang lahir dan menerima pendidikan selepas merdeka berbanding dengannya!
ARKIB : 06/09/2009
1Malaysia dalam puisi
Oleh ZAINAL ABDUL KADIR
SASTERAWAN Negara, Allahyarham Usman Awang telah menulis sebuah sajak bertajuk Anak Jiran Tionghua dalam tahun 1962. Antara petikan sajak tersebut berbunyi:
Lihat mereka tertawa riang
Ah Chew tak punya gigi sebatang
Iskandar mengesat hingus di baju
sekarang mereka menunggu ais
krim lalu.
Amanat sajak ini jelas menggambarkan hasrat penulis ingin melihat kehidupan di antara berbilang kaum di tanah airnya iaitu Malaysia sentiasa dalam keadaan harmoni dan sepakat. Hasrat dan kemahuan ini seiring dengan gagasan atau konsep 1Malaysia yang diterapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Muhammad Haji Salleh, Usman Awang mengungkapkan fikiran puitis tentang masalah yang hampir sama, iaitu perlunya manusia hidup antara satu sama lainnya walau apapun warna kulit mereka. Kita semua menginginkan dunia yang damai dan gembira.
Justeru, sejak selepas merdeka banyak penulis puisi menghasilkan karya yang bertemakan 1Malaysia. Malah, Usman Awang sehingga akhir hayatnya banyak menulis puisi yang mengangkat persoalan perpaduan kaum dan kemanusiaan.
Penulisan puisi-puisi bertemakan 1Malaysia ini bukan sahaja ditulis oleh penulis Melayu, malah turut disemarakkan oleh penulis bukan Melayu. Luahan dan hasrat mereka ingin melihat Malaysia dibangunkan oleh kesatuan pelbagai bangsa ini bagaikan seiring dengan bersatu bergerak bersama-sama.
Antara penulis bukan Melayu yang begitu prolifik menulis khususnya bertemakan 1Malaysia ini ialah Lim Swee Tin. Ini amat jelas dalam kumpulan puisi yang bertajuk Sajak-Sajak Sempena Sukma Cemara. Puisi-puisi yang ditulis dalam kumpulan ini adalah sempena permintaan sesuatu perkara oleh individu atau pihak tertentu.
Menurut Lim Swee Tin, pengarang “tempahan” menghasilkan karya apabila diminta (termasuk dirayu) berbuat demikian dan dalam banyak keadaan juga diupah ataupun diberi ganjaran untuk mencipta. Jadi ilham atau inspirasi ataupun ideanya pada umumnya (walaupun bukan seluruhnya, mungkin hanya asas) dicetuskan oleh pihak “penempah”. Idea itu jelas dicetus atau dimulakan atau ditunjukkan oleh penempah, manakala pengarang bekerja membina idea, memantapkan dan mengukuhkannya, kemudian memastikan karya itu menjadi karya.
Melalui sajak-sajak sempena ini, Lim turut mengangkat persoalan 1Malaysia. Sebagai seorang warganegara yang sangat mencintai tanah kelahirannya. Lim ingin melihat rakyat Malaysia yang berbilang bangsa hidup penuh harmoni dan sejahtera. Dalam kumpulan puisi Sajak-sajak Sempena Sukma Cemara (2006), Lim menulis tiga buah sajak mengenai perayaan terbesar yang disambut oleh orang Melayu, Cina dan India.
Sajak-sajak tersebut ialah Aidilfitri dan Aisyah (dideklamasikan di TV1, RTM sempena Aidilfitri), Gong Xi Fa Cai dan Di Pagi Deepavali Ini (dideklamsikan di TV1, RTM sempena Deepavali). Ketiga-tiga sajak ini jelas menggambarkan bahawa melalui perayaan terbesar ketiga-tiga kaum ini mampu menjalinkan perpaduan melalui kunjung mengunjung di samping mengeratkan semangat kejiranan. Ini menepati pandangan Muhammad Haji Salleh yang menyatakan bahawa tema puisi ialah kehidupan dalam semua bentuk, dari semua segi.
Manakala, dalam kumpulan Sajak-Sajak Sempena Stanza Memorabilia (2009), ditemui dua buah sajak yang mampu menyentuh emosi kepada sesiapapun yang membaca dan menghayatinya. Sajak yang dimaksudkan ialah Kembalilah – untuk adik Nurin Jazlin Jazimin dan Bersatulah Melayu (dicipta sebagai persembahan kepada Ketua 1, Gapena).
Sebagai seorang bapa, tentulah Lim turut merasai dan tersentuh dengan kehilangan adik Nurin. Sebagai seorang ayah juga, Lim dapat merasai bagaimana kasih sayang seorang ayah terhadap anak tiada tolok bandingnya. Melalui sajak ini, Lim menyeru dan mengajak rakyat Malaysia bersatu mencari adik Nurin dan mengembalikan kepada kedua-dua ibu bapanya.
Paling menarik dalam sajak Bersatulah Melayu, nada suara Lim lebih berani dan lantang. Biarpun Lim bukan orang Melayu, keberanian Lim menulis adalah di atas rasa tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia yang ingin melihat rakyat Malaysia (khususnya Melayu) bersatu padu dan tidak berpecah-belah. Jelas peranan 1Malaysia itu harus dijunjung oleh semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Keberanian dan kejujuran Lim amat jelas dalam rangkap berikut:
Bersatulah Melayu
Melayu itu pohon
akarnya mencengkam bumi
bumi itu pautan kasih
kasih Melayu segala kasih