Followers

Semangat dalam gelap

KETIKA masih di peringkat sekolah rendah, aku kerap membayangkan sesuatu yang aneh terjadi di sekolah. Imaginasi ini datang daripada novel detektif yang aku baca, filem detektif yang pernah aku tengok, nilai-nilai yang terkandung dalam buku, permainan yang pernah aku main bersama adik, menyebabkan aku percaya bahawa selain apa yang biasa didapati di sekolah seperti guru tingkatan, meja kerusi, pekerja sekolah, kawan-kawan aku, papan hitam, guru besar, di suatu sudut sekolah, terdapat benda-benda yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar aku. 'Mereka' yang terlepas dari dunia imaginasi aku kerap menghilangkan diri selepas melakukan kejahatan di suatu sudut sekolah. Daya sensitiviti yang lembap menyebabkan aku lambat mengesan perkara ini dan hanya mengetahui tahap keseriusannya pada saat-saat yang terkemudian.
Kapur yang lesap dari bilik darjah, pensel mekanikal murid yang hilang secara tiba-tiba, misteri-misteri seperti ini berkait rapat dengan 'mereka'.
Sedia maklum akan bahaya yang wujud di sekolah, aku terpaksa bersikap skeptis. Kawasan belakang koperasi sekolah yang penuh dengan puntung rokok akan dianggap sebagai tempat persembunyian 'mereka'. Dan di pertengahan aktiviti kokurikulum, aku akan mengunjungi tempat tersebut untuk mengumpulkan sebarang maklumat terbaru. Atau menunggu sasaran terjerat dalam perangkap yang dipasang.
Ketika bermain bola sepak di padang pada sebelah petang, aku mengesyaki ada raksasa sedang menghampiri sekolah disebabkan bunyi hentakan dari jauh dan gegaran yang terasa pada bumi. Tiba-tiba aku berasa gerun. Tetapi pada usia yang lebih lewat, tahu juga semua itu diakibatkan oleh kerja-kerja memantakkan cerucuk.
Sebelum pembelajaran di darjah enam tiba ke penghujungnya, kawan menguji aku, 'Tahu tak kamu bagaimana kita tiba ke dunia ini?', dia seperti mengetahui rahsia besar yang menggemparkan. Pada saat itu, dunia imaginasi aku tiba-tiba menyusut. Aku menyesal kerana asyik melayani dunia imaginasi aku dan mengabaikan persoalan asas sebegitu. Aku mula menggeruni fakta bahawa orang dewasa melakukan perkara sebegitu di sebalik tabir kesopanan dan kesusilaan mereka.
Dunia imaginasi terus bermaharajalela selepas aku memasuki peringkat menengah. Ketika ini, aku boleh membayangkan kejadian yang berlaku dalam sekolah dan di luar sekolah pada masa yang sama. Misalnya di pertengahan pengajaran guru yang membosankan, fungsi imaginasi akan diaktifkan secara automatik, dan penglihatan yang menghala ke luar tingkap (kerap kalinya fokus jatuh pada delta yang menghijau di seberang sungai) akan cepat menangkap bayang-bayang imaginatif - biasanya alam dinosaur (babak-babak daripada dokumentari dinosaur) - yang wujud tidak jauh dari sekolah.
Pada masa yang sama, aku sedia maklum akan kes pembunuhan yang telah terjadi dalam kawasan sekolah dan sedar betapa perlunya diri membongkar fenomena ini. Berbeza dengan peringkat rendah, unsur keganasan telah mewarnai dunia imaginasi aku. Atas sebab itu, aku kerap menyamar sebagai detektif, mencatat sesuatu dan mendapatkan keterangan daripada saksi dalam banyak tempat kejadian yang berbeza - babak ajukan: mengeluarkan buku catatan, mencatatkan segala bahan ajaran yang tertulis pada papan hitam.
terhibur
Meskipun kelajuan pengajaran guru begitu ketara sekali, tetapi aku masih boleh terhibur dalam dunia ciptaan aku: Raksasa di seberang sungai semakin menghampiri sekolah, pembunuh yang identitinya belum terbongkar mencari sasaran seterusnya, watak aku sebagai detektif, dunia imaginasi yang penuh dengan kejadian pelik - kegilaan yang semakin menjadi-jadi dalam otak aku.
Ada kalanya aku meragui tujuan aku menghadirkan diri di sekolah. Aku bertungkus-lumus membentuk imej 'budak baik' pada kaca mata orang tua aku, dan 'pelajar cemerlang' pada tanggapan guru, tetapi sebaliknya fikiran meronta-ronta hendak melepaskan diri daripada setiap proses pengajaran dalam kelas. Pada kala segala-galanya berjalan seperti yang dimahukan, aku percaya diri merupakan pelajar yang dapat membolot kedudukan teratas dalam kelas tanpa usaha yang sungguh-sungguh. Aku percaya diri memiliki kebolehan istimewa.
Tetapi kemudiannya menyedari kebolehan sebegini berpunca daripada kegusaran. Untuk melepaskan diri daripada kegusaran yang terbawa-bawa dari dunia realiti, aku menyembunyikan diri dalam dunia imaginasi selama yang mahu tanpa rasa perlu untuk kembali memikul tanggungjawab pada hari-hari mendatang.
Selepas menamatkan pengajian di universiti, aku didatangi suatu perasaan pelik. Jati diri aku terkurung pada masa-masa lampau. Kematangan dan keghairahan aku tidak berjalan seiring dengan peredaran masa. Perkembangan dua ciri ini dibekukan pada detik lampau yang sudah luput. Dan waktu-waktu mendatang hanya akan melebarkan jurang antara aku dan persekitaran, menyebabkan diri semakin sengsara diseksa kejanggalan sedemikian.
Dalam dunia realiti, aku mengharungi proses temu duga yang berterusan untuk memperoleh pekerjaan; aku berusaha keras dalam setiap temu duga (aku membenci penonjolan diri yang hipokrit), semata-mata untuk melarikan diri daripada pekerjaan setelah berjaya mendapat tawaran (aku menggeruni pandangan masyarakat, menggeruni cara hidup berkelompok; aku mengalami kekurangan dari segi mental, justeru terpaksa memilih kehidupan yang berlainan daripada orang kebanyakan). Ini mendatangkan kekecewaan yang amat sangat kepada ibu aku.
Dalam tubuh aku, seolah-olah wujud satu jasad pendua. Aku tidak dapat mengesan kedudukan sebenarnya dalam badan aku. Tetapi tatkala diri pasrah didatangi kesakitan kepala yang merekah serta gejala mental yang menyeksa, sungguh-sungguh dapat aku merasai kewujudan jasad pendua yang keparat itu. Seksaan'nya' terhadap aku tidak pernah lekang pada bila-bila masa - ketika membualkan topik yang berbeza untuk orang yang berasingan dalam banyak situasi yang berlainan; membeli buku dan majalah di kedai buku dalam plaza; mendapatkan perkhidmatan gunting rambut di kedai yang menjadi kunjungan aku sejak satu dekad yang lalu; melepak di pekan yang penuh dengan rombongan pejalan kaki yang tergesa-gesa dan deretan kereta yang berhimpit-himpit di jalanan; menyaksikan rancangan televisyen; bergaduh dengan adik demi perkara yang remeh-temeh; dirungut ibu kerana tabiat aku yang suka berjaga hingga lewat malam; berkumpul di restoran mewah bersama kawan, menjamah hidangan mewah, keghairahan semua orang untuk berborak tentang asam garam yang jarang sekali dapat dikaitkan dengan kehidupan aku; bertelingkah dengan ibu demi masa depan aku. Semua ini memperlihatkan kedegilan, kebodohan dan keangkuhan diri. Manifestasi gangguan mental hanya memburukkan keadaan.
Jasad
Di malam-malam yang berbeza, jasad pendua dalam tubuh tidak henti-henti muncul dalam mimpi aku.
"Nama aku Hei ." 'Dia' memperkenalkan dirinya.
Melewati usia dua puluh, kebolehan imaginasi aku semakin sirna. Sebetulnya Hei merupakan entiti yang berjaya melarikan diri sebelum dunia imaginasi aku lenyap sepenuhnya. 'Ia' merupakan entiti keparat yang terselamat daripada bencana sedemikian dan merasuk aku setelah dunia imaginatif kiamat sepenuhnya. Ini merupakan hipotesis aku.
Tetapi jauh di sudut hati, aku lebih memahami nasib sendiri: kehidupan selepas peringkat menengah, kesukaran dalam hidup, suka duka aku, semua yang aku lalui semata-mata untuk membuahkan akibat pada hari ini, seolah-olah jodoh antara aku dan Hei sudah ditakdirkan, kami terpaksa hidup sebagai satu kesatuan pada saat yang ditentukan ini.
Untuk itu, aku menjadi kutu embun, kerap kali menunggang basikal merayau-rayau di kejiranan setelah daerah ini ditelan kegelapan malam, dengan harapan untuk menemukan sesuatu, tetapi tabiat ini lebih kepada kecenderungan untuk menyembunyikan diri dalam kegelapan; aku minum kopi, mengharapkan kesan kafeina untuk menyekat gejala gangguan mental; aku mula berjoging, mengharapkan perembesan serotonin dalam badan untuk menangkis gejala Hei; ketika merayau dalam gelap dan melangkaui pasar awam yang lengang, aku akan mara ke arah kawasan anjing liar di lorong belakang bagi menguji kejantanan diri; aku berbuat amal dengan memberi sedekah kepada pengemis, tetapi keadaan pahit getir peminta sedekah yang kecacatan anggota di pasar malam kerap mendatangkan komplikasi kepada aku; aku bercadang untuk tidak memiliki kereta, atas sangkaan bahawa resolusi sedemikian dapat mengurangkan kadar pencemaran udara sebanyak 0.000...1 peratus, sekali gus memakbulkan impian aku untuk menjadi penunggang selama-lamanya, umpama hero penunggang Baja Hitam yang menjadi pujaan aku sejak dari zaman kanak-kanak; aku menyaksikan opera Cina, walaupun tidak faham sangat dengan apa yang dipertuturkan di atas pentas, tetapi terpesona dengan solekan para pelakon yang nampak garang.
Perhimpunan
Banyak kali menjelang malam, aku sengaja menghindarkan perhimpunan keluarga dengan melepak di luar. Merayau-rayau di malam hari yang semakin bertambah kegelapannya, dengan harapan menemukan bayangan yang menghantui daerah ini sama seperti aku. Aku meminggirkan keharmonian perhimpunan keluarga dan memilih untuk menemukan kebahagiaan yang kabur dalam gelap, tetapi tabiat ini lebih kepada usaha untuk menyingkirkan kegelisahan dan kekesalan dalam diri. Aku meminggirkan keseronokan melancong dan berkumpul bersama kawan, dan memilih untuk menjalani kehidupan yang bosan. Aku memilih untuk merayau dalam gelap kerana aku pernah melalui saat-saat gembira sebagai kutu rayau malam. Setiap kali daerah ini dilitupi kegelapan, aku akan dapat merasai sesuatu - kepercayaan sewaktu kecil, memori yang samar, jejak dari zaman kanak-kanak - mula melimpahi tempat-tempat tertentu. Sekiranya aku dapat meloloskan diri daripada kongkongan keluarga dan merayau di luar bagi memburu bayangan sedemikian dengan harapan 'mereka' muncul semula dalam mimpi aku, keamanan akan terasa dalam diri seolah-olah kekosongan dan kekesalan diri telah dikambus dengan kemurnian diri yang lepas.
Umpamanya menyelamatkan anak kucing yang terperangkap dalam parit di tepi kebun pokok kelapa sewaktu kecil, Nilai Murni Pertama: Jujur, Nilai Murni Kedua: Kebersihan (Jangan buang sampah di merata tempat!), memberi sedekah kepada pengemis, pergaduhan aku dengan teman sepermainan; pada ketika daya imaginasi semakin menyusut dan diri semakin sesat ditenggelami arus dunia realiti, aku bermati-mati mempercayai memori lapuk yang menumpang dalam gelap umpama jembalang ini mampu mendatangkan kemandirian pada saat-saat diri dilanda kesengsaraan yang amat sangat.
Ada kalanya aku melangkah keluar pada waktu tidur.
"Dah pukul berapa ni, masih nak keluar?" Ibu akan bersungut.
Aku tergila-gilakan tabiat merayau dalam gelap. Sewaktu para penghuni dalam daerah ini nyenyak dibuai mimpi, aku masih teruja menelusuri lorong belakang kediaman, lerengan di tepi tokong, denai pasir dalam kebun pokok kelapa, bagi mengejutkan entiti memori yang lena di sudut gelap. Membangkitkan semangat-semangat ini. Membebaskan 'mereka' daripada kekangan yang mengongkong. Bumantara malam kelihatan hidup dengan kehadiran semangat-semangat ini umpama panorama yang mengharukan.
Di rumah, ibu tengah runsing dengan sakit pinggang dan kaki yang telah lama menghantuinya, pada masa yang sama merungut tentang beban kehidupan yang berat; di lorong belakang, terletak kereta (kereta Mitsubishi Lancer keluaran tahun 1980) cabuk kesayangan ayah yang sering kali mendatangkan masalah; di siang hari, penyakit gangguan jiwa aku tiba-tiba menyerang (impuls otak tidak henti-henti menduplikasi dirinya, kuantitinya semakin banyak sehingga mendatangkan kesesakan, fungsi penafsiran otak jadi lumpuh, proses sedemikian terus-menerus berulang sehingga otak mencapai keadaan tepu), dengan segera aku memandikan diri, kemudian mendedahkan diri di bawah kepanasan suria tengah hari dalam keadaan suhu badan yang lebih rendah, bagi mendapatkan kesan kejutan elektrik yang mampu memulihkan aku buat seketika; di rumah, kewibawaan adik semakin meningkat berbanding dengan aku; di kedai nombor ekor, ayah masih menghabiskan duit untuk pertaruhan yang amat tipis peluang kemenangannya.
Di malam-malam yang berasingan, aku berulang kali melewati deretan-deretan rumah bagi menerawang keadaan dalam rumah menerusi pintu besi berkekisi. Ketika terlihat ahli-ahli keluarga yang bahagia berkumpul di ruang tamu, menonton rancangan televisyen sambil berborak-borak, satu ilusi mendatangi aku: kesengsaraan, pertelingkahan dan kesedihan yang dialami oleh para penghuni di siang hari semata-mata untuk diadaptasi sebagai babak yang harmoni pada sebelah malam. Imej keluarga mula meligat ganas dalam kepala. Basikal melewati kedai runcit yang aku kenal benar sejak kecil.
Kebahagiaan yang samar mula menyelubungi kalbuku pada saat terfikirkan cara letak dalam kedai masih serupa sewaktu kunjungan pada sebelah pagi. Atas desakan yang amat sangat, aku mencepatkan kayuhan, dengan harapan membawa pulang kebahagiaan keparat ini sebelum ia lenyap menjelang dinihari.

No comments: